Harimau Malaya terkulai lagi di Manama

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Skuad bolasepak kebangsaan gagal untuk melakar kejutan ke atas Bahrain, sebaliknya akur dengan kekalahan 0-2 dalam aksi persahabatan berlangsung di Manama, awal pagi Sabtu.

Tan Cheng melakukan empat pertukaran dalam kesebelasan utama yang tewas kepada Kuwait Ahad lalu, dengan membariskan Matthew Davies menggantikan Rizal Ghazali di bek kanan, Liridon Kraniqi mengambil tempat Brendan Gan, Safawi Rasid di posisi sayap menggantikan Akhyar Rashid manakala Syafiq Ahmad seperti dijangka menggantikan Guilherme De Paula.

Harimau Malaya mencemaskan pintu gol Bahrain pada minit kelapan menerusi rembatan Matthew Davies yang tepat ke dakapan penjaga gol, dan mengimbangi permainan dengan cukup baik bagi tempoh 20 minit pertama.

Begitupun, tuan rumah mula menekan selepas itu dan hampir mendahului menerusi percubaan penjaring terbanyak Liga Bahrain, Mahdi Abduljabbar pada minit ke-21 namun diselamatkan Farizal Marlias.

Tujuh minit kemudian Mahdi Abduljabbar lolos ke dalam kotak penalti dan berjaya menewaskan Farizal namun jaringannya dibatalkan kerana ofsaid.

Minit ke-40 pengadil Turkey Alghadeer menghadiahkan sepakan penalti kepada Bahrain selepas pemain pertahanan Harimau Malaya, Irfan Zakaria menarik dan menjatuhkan Mahdi Abduljabbar.

Pemain itu sendiri menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pendahuluan Bahrain.

Syafiq Ahmad beroleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada masa kecederaan namun tandukannya sedikit melewati palang, sekaligus kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Minit ke-60, Bahrain menggandakan kedudukan berpunca daripada kesilapan Farizal Marlias yang gagal menampan kemas hantaran ke belakang Liridon Krasniqi, bola disambar Jasim Marhoon yang merembat ke dalam gawang dari sudut sukar.

Bahrain terus bernafsu melakukan serangan dan hampir menambah jaringan beberapa minit kemudian namun tandukan Jasim Ahmed Alshaikh sedikit tersasar.

Meskipun Tan Cheng Hoe melakukan beberapa pertukaran pada 10 minit terakhir dengan memasukkan Arif Aiman, Luqman Hakim dan Akhyar Rashid, skuad negara bermain seperti hilang punca sepanjang separuh masa kedua dan secara dasarnya gagal untuk memberi tekanan kepada pasukan ranking ke-98 dunia itu.

Menambah malang, Safawi Rasid dilayangkan kad merah selepas dikeluarkan kerana mempertikai keputusan pengadil.

Skuad Harimau Malaya akan kembali ke Dubai selepas ini untuk melakukan persiapan terakhir mengharungi baki tiga aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu pada 3 Jun, disusuli Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.