Harimau Malaya terus turun berlatih, disertai Liridon, Junior dan Dominic

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tiada ruang untuk berehat, skuad Harimau Malaya terus turun menjalani sesi latihan pertama setibanya di Dubai, UAE, pada Khamis.

Pasukan kebangsaan baru sahaja bertolak ke Dubai pada 9 pagi waktu Malaysia menerusi penerbangan sewa khas MH8436 dan tiba di Dubai jam 12.20 tengah hari waktu Dubai.

Latihan turut disertai tiga pemain yang baru melapor diri iaitu Liridon Krasniqi, Junior Eldstal dan Dominic Tan – ketiga-tiga mereka terus ke Dubai dari kelab diwakili mereka di Australia dan Thailand.

Seorang lagi pemain, Luqman Hakim Shamsudin dijangka tiba dari Belgium, awal pagi Jumaat bagi melengkapkan skuad 25 pemain Harimau Malaya.

Bintang muda yang beraksi untuk kelab KV Kortrijk bersama-sama pemain sensasi Johor Darul Takzim, Arif Aiman Hanapi – masing-masing berusia 19 tahun merupakan pemain paling muda di dalam skuad.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu akan mengadakan dua perlawanan pemanas badan bertemu Kuwait di Dubai dan menentang Bahrain di Manama sebelum bermain tiga perlawanan terakhir Kumpulan G pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu UAE (3 Jun), Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun 2021).

Ketika ini, skuad negara menduduki tangga kedua di belakang Vietnam dengan mengutip sembilan mata dari lima perlawanan dan mempunyai peluang seimbang untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Thailand mengekori di tangga ketiga (8 mata) manakala UAE di tangga keempat (6 mata), dan Indonesia yang tewas semua perlawanan di tangga tercorot.

Sementara itu, Tan Cheng Hoe memaklumkan bahawa tiada syarat ditetapkan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) agar semua pemain divaksinasi jika mahu beraksi pada perlawanan kelayakan nanti.

Bagaimanapun, bekas jurulatih Kedah itu berkata semua pemain perlu menjalani ujian calitan serta mengikuti maklumat terkini oleh FIFA dan AFC berkaitan situasi semasa pandemik COVID-19.

Cheng Hoe juga melahirkan kebimbangan untuk berlepas ke Dubai susulan situasi pandemik yang masih reda di seluruh dunia namun sebagai jurulatih, beliau perlu bersikap positif demi memastikan pasukan meraih kejayaan di UAE dan meminta rakyat Malaysia terus menyokong skuad kebangsaan dalam keadaan sukar ini.

Foto kredit : Football Association of Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.