Harini FT Cukup Ramuan, Dalam Landasan Terbaik Untuk Layak Ke Liga Super 2023

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pasukan pendahulu Liga M3, Harini FT merupakan antara pasukan yang berpotensi mewarnai kancah Liga Super 2023.

Ketua jurulatih pasukan itu, Fauzi Pilus, mengakui pengurusan pasukan adalah antara yang terbaik dan stabil dari segi kewangan di Liga M3 justeru berkeyakinan bahawa mereka sudah bersedia untuk menempuh cabaran baru di Liga Super sekiranya layak.

“Bagi saya Harini FT memang telah bersedia dari aspek dokumentasi dan memenuhi semua kriteria yang ditetapkan oleh bahagian pelesenan Malaysian Football League.

“Sudah tentu prospek bermain di liga tertinggi adalah satu batu loncatan yang baik untuk pihak pengurusan,” ujar Fauzi dipetik dari portal Harimau Malaya.

Fauzi berkata pihak pengurusan memang menetapkan sasaran menjuarai Liga M3 jadi beliau mahu memfokuskan pasukan untuk menghadapi baki saingan liga dan peringkat suku akhir selepas ini.

Dua pasukan terbaik Liga M3 kemudiannya akan bersaing dalam aksi play-off menentang dua pasukan Liga Premier, untuk memburu dua slot beraksi di Liga Super 2023.

Tambah Fauzi yang menggantikan G. Muthu pada pertengahan musim, sama ada mereka layak ke Liga Super atau kekal di Liga M3 musim depan, beliau akan terus menjalankan tugas seperti biasa untuk mempersiapkan pasukan menghadapi mana-mana kejohanan.

“Peranan saya adalah untuk mengubah ‘behaviours of the game’, itu paling penting sekali dan merupakan sasaran saya ketika mengambil alih pasukan.

“Pihak pengurusan juga faham objektif saya dan mereka lihat apa yang saya cuba terapkan itu hampir tercapai.”

Sementara itu, pengurus pasukan, Khalid Jamlus pula beranggapan impian pemilik pasukan melihat Harini FT bermain di Liga Super berada dalam landasan yang betul.

Namun bekas pemain kebangsaan itu enggan terlalu teruja dengan prospek tersebut kerana menyedari cabaran yang lebih hebat menanti bila beraksi dalam liga elit yang menghimpunkan pasukan terbaik Liga Malaysia.  

“Segala proses dari segi perlesenan itu pihak atasan yang selesaikan, saya sebagai pengurus bersama-sama barisan kejurulatihan hanya perlu pastikan pasukan ini layak.

“Tetapi buat masa sekarang, kita habiskan dahulu baki Liga M3 ini kemudian baru kita lihat adakah kita mampu untuk pergi ke liga yang lebih tinggi.

“Kita tak boleh nak beria sangat untuk ke Liga Super jika tiada perisai yang cantik dan mantap untuk meneruskan perjuangan dalam liga.

“Kita pasti akan buat sesuatu yang baru di mana kita perlukan juga beberapa pemain yang berkualiti untuk bersama kita bagi memantapkan lagi pasukan,” kata Khalid Jamlus.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.