Hariss Harun selamatkan JDT dari dimalukan KL City

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Johor Darul Takzim (JDT) mencicirkan mata sekali lagi, apabila sekadar mampu mencatat keputusan seri 1-1 menentang KL City pada Jumaat.

Skuad bimbingan Benjamin Mora terdesak untuk memburu kemenangan sebagai penawar duka selepas tewas kepada Terengganu FC pada minggu lalu – kekalahan pertama dalam 22 perlawanan Liga Super – namun ternyata KL City bukan mudah untuk dijinakkan.

Aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur menyaksikan kedua-dua pasukan berjaya mengimbangi permainan pada separuh masa pertama, namun skuad bimbingan Bojan Hodak berjaya merebut pendahuluan pada masa kecederaan menerusi Romel Morales yang bijak melepasi perangkap ofsaid dan merembat melepasi Farizal Marlias.

Aksi separuh masa kedua menyaksikan penguasaan milik Harimau Selatan, dan Hariss Harun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-55, selepas dia menanduk masuk hantaran sepakan sudut Nazmi Faiz Mansor.

Walaupun Benjamin Mora memasukkan Safawi Rasid dan kemudiannya Mohamadou Sumareh di hujung perlawanan, JDT gagal merobek keampuhan pertahanan skuad Bojan Hodak yang tidak mengulangi kesilapan dalam empat perlawanan terdahulu – iaitu melepaskan gol lewat permainan.

Keputusan seri ketiga musim ini menyaksikan JDT menamatkan pusingan pertama dengan mengumpul 24 mata dan masih kekal menerajui liga, manakala KL City pula mengumpul 13 mata.

Sementara itu dalam satu lagi aksi yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Kedah Darul Aman mengetepikan tentangan Melaka United 3-1.

Perkhabaran kurang gembira mengenai penggantungan Fadzrul Danel dan Rodney Akwensivie yang diterima beberapa jam sebelum perlawanan, ternyata tidak meruntuhkan moral di kem KDA, sebaliknya mereka tampil dengan aksi bertenaga untuk meraih kemenangan ketujuh musim ini.

Kpah Sherman membuka jaringan pada minit ke-18 menerusi sepakan penalti, sebelum Stefan Nikolic mengikat kedudukan pada minit ke-38 juga menerusi sepakan penalti untuk keputusan 1-1 di separuh masa pertama.

Kpah Sherman mengembalikan kelebihan buat KDA pada minit ke-62 sebelum Baddrol Bakhtiar melengkapkan kemenangan empat minit sebelum tamat permainan.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.