Havertz bekerja keras dari umur 6 tahun untuk hari yang hebat ini!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang Jerman, Kai Havertz mendedahkan dia bekerja keras selama 15 tahun untuk menikmati saat manis menjaringkan gol yang membolehkan Chelsea muncul juara Liga Juara-Juara Eropah dengan menumpaskan Manchester City.

Ledakan Havertz pada minit ke-42, iaitu gol pertamanya buat Chelsea di Liga Juara-Juara membolehkan The Blues menakluk pentas Eropah buat kali kedua.

Kali pertama mereka menjulang trofi selaku jaguh Eropah adalah sembilan tahun lalu selepas mengalahkan Bayern Munich menerusi penentuan sepakan penalti.

“Saya tidak tahu apa yang hendak diperkatakan, saya sudah menunggu lama. Saya bekerja keras selama 15 tahun untuk menikmati detik ini, saya sangat terharu,” kata pemain berusia 21 tahun itu yang turut disenaraikan buat pertama kali dalam skuad Euro 2020 Jerman.

Ketua pasukan Chelsea, Cesar Azpilicueta memuji penyerang muda itu.

“Mentaliti dia berada pada tahap terbaik, budak ini akan jadi seorang bintang, dia berlari seperti orang gila, itulah sebabnya dia berhak mendapat kejayaan ini.

“Saya datang ke sini pada 2012 selepas itu menang Liga Juara-Juara. Saya mahu mengulangi kejayaan itu. Ia sangat luar biasa. Keluarga saya hadir malam ini. Ia hari yang istimewa.

“Ia sangat luar biasa, keputusan yang hadir selepas kerja keras dan kesusahan yang dihadapi sepanjang musim tapi akhirnya berakhir dengan dinikmati bersama,” kata Azpilicueta.

Pemain tengah Perancis, N’Golo Kante, yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan di atas keupayaannya tidak kenal erti penat dan lelah berkata :

“Hari ini kami merasai kesusahan, kami berjuang sehingga saat akhir dan mendapat ganjaran dengan kejayaan,” kata Kante.

Dia memberi penghormatan kehadiran Thomas Tuchel menggantikan Frank Lampard yang dipecat Januari lalu membolehkan mereka menakluk Eropah.

“Ia disebabkan kehadiran jurulatih baru, perubahan taktik dan banyak usaha keras,” katanya.

Manakala Christian Pulisic pula menyatakan dia masih tidak dapat percaya bergelar juara dan menjadi pemain Amerika Syarikat pertama yang menjadi pemenang Liga Juara-Juara Eropah.

“Saya tidak dapat menjelaskannya, ia masih lagi dalam kejutan. Saya tidak cukup berjaya seperti yang saya mahukan tetapi pada akhirnya pasukan ini akan selalu mencari kemenangan dan saya sangat berbangga dengan mereka.

“Saya mempunyai ibu bapa saya di sini jadi saya baru sahaja bercakap dengan mereka. Saya sangat bangga berada di sini. Ini merupakan perjalanan yang sukar bagi saya dan saya tidak dapat membayangkan memenangi UCL dalam hidup saya dan sekarang saya di sini jadi ia sesuatu yang di luar jangkaan.”

Foto kredit : Zimbio/Eurosport News

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.