Herold Goulon Boleh Main Lawan Sri Pahang

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Negeri Sembilan, K.Devan lega kerana kesemua pemainnya bebas daripada masalah kecederaan mahupun penggantungan justeru dapat menurunkan barisan terkuat apabila menentang Sri Pahang dalam aksi Liga Super pada Sabtu.

Ini bermakna pemain tonggak pertahanan, Herold Goulon yang tidak beraksi semasa berdepan Melaka United, pada Sabtu lalu juga boleh kembali diturunkan berdepan bekas pasukannya itu.

Herold Goulon setakat ini telah tampil cemerlang malah dia bukan sahaja cemerlang mengemudi pertahanan sebaliknya turut garang di depan gol apabila muncul penjaring terbanyak pasukan dengan lima gol.

“Saya boleh gunakan kesebelasan terbaik untuk berdepan Sri Pahang apabila semua pemain termasuk Herold Goulon bebas daripada semua masalah.

“Jadi sudah tentu kami mahu gunakan kelebihan beraksi di laman sendiri bagi meraih tiga mata biarpun dalam masa kami hormati kekuatan Sri Pahang.

“Dua pemain import terbaharu, Yashir (Islame Pinto) dan Gustavo ( Almeida) dijangka boleh tampil lebih baik dalam perlawanan kali ini.

“Harus diingat Yashir kali terakhir bermain secara kompetitif ialah pada penghujung Mei lalu di Liga Thailand sementara Gustavo, sudah empat bulan tidak bermain selepas kontraknya berakhir di Liga Jepun.

“Mereka sebenarnya masih dalam fasa membina kecergasan serta memahami taktikal dan gaya permainan pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, Devan juga tidak bimbang dengan kegagalan pasukannya untuk mendapatkan sebarang jaringan dalam tiga perlawanan terakhir liga sebelum ini.

Sebaliknya, beliau masih percaya dengan keupayaan barisan penyerangnya untuk menamatkan kemarau gol serta meraih tiga mata yang akan membantu skuad hobin jang hobin untuk terus mengukuhkan cengkaman di kedudukan tiga teratas.

“Saya faham kerisauan peminat apabila pasukan tidak menjaringkan gol tetapi pemain ada pamerkan peningkatan dalam mencipta peluang semasa berdepan Melaka.

“Cuma hanya sentuhan penyudah menjadi dan kami sedang pertingkatkan aspek ini semasa sesi latihan.

“Semasa kami berdepan JDT pun kami ada peluang tetapi kami tidak manfaatkan dan saya akui dari segi penyudah, memang ada masalah.

“Bagi saya, jika barisan hadapan tidak mampu menjana peluang, itu yang saya akan lebih risaukan tetapi saya yakin barisan pemain mampu menjaringkan gol semasa aksi seterusnya semasa berdepan Sri Pahang,” katanya.

Tiga perlawanan terakhir Negeri Sembilan menyaksikan mereka seri tanpa jaringan semasa bertemu Melaka United serta Kedah Darul Aman (KDA) FC dan tewas 0-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.