“Hilang Seorang Pemain Rencatkan Momentum” – Aidil Sharin

Aidil Sharin vs Selangor
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Aksi pertama skuad Kedah Darul Aman (KDAFC) bimbingan Aidil Sharin Sahak selepas lebih tiga bulan, berakhir dengan mengecewakan apabila mereka tewas 2-4 kepada Selangor FC di Stadium Darul Aman pada Jumaat.

Meskipun mendahului lebih awal menerusi Kpah Sherman pada minit ke-24, rentak KDAFC terencat apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain berikutan Renan Alves dilayangkan kad merah setelah menampan bola dengan tangan di atas garisan gol ala Luis Suarez pada minit ke-28.

Ifedayo Olusegun menyamakan kedudukan menerusi tendangan penalti dan giliran Selangor FC pula berada di depan menerusi Danial Asri pada minit ke-30.

KDAFC berjaya menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-44 menerusi tandukan Anumanthan Mohan Kumar tetapi dua jaringan Ifedayo di separuh masa kedua memastikan kemenangan milik Red Giants.

Ini reaksi Aidil Sharin pada sidang media selepas perlawanan, “Ketika 11 pemain kita bermain dengan cukup baik, mendahului perlawanan tetapi apabila kehilangan seorang pemain ia menjadi sukar.

“Kita mula hilang tumpuan dan melepaskan gol kedua tetapi masih berjaya untuk mendapatkan satu lagi jaringan sebelum tamat separuh masa pertama.

“Di separuh masa kedua, mula terserlah intensiti berbeza antara kedua-dua pasukan. Bukan sahaja kerana kelebihan seorang pemain, tetapi Selangor sebelum ini sudah bermain empat perlawanan manakala kita pula ini adalah perlawanan pertama dalam tiga bulan.

“Kita tiada satu pun perlawanan kompetitif walaupun persahabatan sejak aksi Liga Super terakhir menentang Sabah pada 8 Mei kerana PKP dan menjalani kuarantin.

“Kita turun dengan kehilangan match fitness dan momentum yang tercipta tetapi pemain-pemain tetap bekerja keras memberikan yang terbaik.

“Mereka cuba untuk bangkit walaupun ketinggalan 2-3 tetapi akhirnya kita terpaksa akur dalam keghairahan mencari gol kita melepaskan satu lagi gol minit akhir.

“Memang saya akui ketika kedudukan 2-2 ada sedikit kecenderungan untuk bermain lebih bertahan tetapi Selangor pula dilihat tidak putus memberi tekanan dan membawa masuk lebih ramai pemain barisan depan.

“Apapun tahniah untuk Selangor dan kita akan cuba berikan satu lagi persembahan bertenaga pada aksi seterusnya menentang Penang FC (17 Ogos).”

Kekalahan menyaksikan KDAFC tergelincir ke tangga kelima dengan 26 mata, manakala kemenangan ketiga berturut-turut buat Selangor FC menyaksikan mereka melonjak ke tangga keempat dengan 29 mata.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.