Friday, July 23, 2021
HomeBola SepakHong Wan : "JDT lebih baik berbanding beberapa kelab EPL"

Hong Wan : “JDT lebih baik berbanding beberapa kelab EPL”

Pemain berdarah kacukan Malaysia-China, Nathaniel Shio Hong Wan mengakui dia tidak mungkin datang ke Malaysia jika bukan kerana Johor Darul Takzim (JDT).

Malah baru kira-kira tiga minggu bersama Harimau Selatan, Hong Wan yang merupakan bekas pemain skuad B-23 Wolverhampton Wanderers sudahpun cukup teruja dengan kelab itu dan tanpa ragu menyifatkan mereka adalah kelab terbaik dan terbesar di Malaysia.

“Sejujurnya, ini adalah satu-satunya kelab yang saya tahu disebabkan kejayaan yang mereka capai.

“Kemudahan fasiliti yang mereka miliki, sumber yang mereka ada berbanding pasukan lain dan bahkan hanya datang ke sini sewaktu minggu pertama saya, tempat latihan, persekitaran stadium, tahapnya adalah lebih baik berbanding beberapa kelab EPL yang saya ketahui.

“Kemudahan fasiliti di sini berada di tahap teratas, sama dengan kelab-kelab Liga Perdana Inggeris. Saya melihat peluang yang baik di sini jadi saya membuat keputusan untuk menjalaninya. Cabaran baru, pengalaman baru,” katanya kepada Astro Arena.

Tambahnya lagi, “JDT sebuah kelab yang sangat bagus, sebuah kelab besar dalam hampir kesemua perkara.

“Mereka bermain di kejohanan Liga Juara-Juara AFC, seperti yang mereka lakukan sekarang, melakukannya dengan sangat baik dan perkara terbesar bagi saya adalah di mana saya melihat diri saya bermain, melihat peluang yang ada di JDT.”

Sebagai rekod, Hong Wan yang berusia 20 tahun memulakan kariernya bersama Yeovil Town dan dia juga berpengalaman bermain di Croatia bersama NK Varazdin, sebelum menyertai Wolves.

Keterujaan Hong Wang boleh difahami apatah lagi JDT sudah jauh meninggalkan pasukan lain bukan sahaja dari aspek pencapaian, tetapi juga dalam pelbagai aspek luar padang.

Selain mempunyai fasiliti terbaik ketika ini, JDT juga memiliki Stadium Sultan Ibrahim bernilai RM200 juta di Iskandar Puteri yang telah mendapat pengiktirafan global selepas menewaskan 19 stadium lain di seluruh dunia sebagai ‘Stadium Of The Year 2020’ dalam undian awam yang dikendalikan laman web StadiumDB.com berpangkalan di Poland.

Mereka juga dalam proses membina pusat latihan baru, manakala baru-baru ini Tunku Ismail Sultan Ibrahim ada memaklumkan cadangan mahu membina kolam serta lounge di Stadium Sultan Ibrahim.

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.