Hormati kontrak, jangan jadikan pemain sebagai mangsa untuk survivaliti kewangan pasukan

KUANTAN, 9 Julai -- Pemain Pahang Matthew Thomas Davies (tengah) dirai oleh rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kemenangan ketika menentang PKNS FC pada perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Darul Makmur, malam ini. Keputusan penuh Pahang 3-2 PKNS FC. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Pemain Professional Malaysia (PFAM) hari ini memberi kenyataan balas kepada hasrat beberapa persatuan bolasepak yang mahu membuat pemotongan gaji susulan penangguhan Liga Malaysia ke satu tempoh lebih lama.

Persatuan Bolasepak Malaysia dan Malaysian Football League juga telah meminta agar semua pihak bertolak ansur demi menjaga kestabilan kewangan kelab yang seolah menyokong hasrat tersebut. 

PFAM bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan atau hasrat tersebut.

Menerusi satu kenyataan, PFAM menyatakan pendirian bahawa kontrak perlu dihormati dan dipatuhi sepertimana dipersetujui terutamanya berhubung isu pembayaran gaji, apatah lagi pemain-pemain turut terkesan dengan situasi yang berlaku.

“Dengan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang dilaksanakan ini, kami masih terikat dengan pelbagai komitmen dan hakikatnya ada berlaku penambahan kos dalam kehidupan seharian.

“Perlu diingatkan, bukan semua dalam kalangan pemain mendapat gaji yang besar, dan sememangnya keperluan gaji amat mustahak di waktu ini. Ada yang terpaksa berbelanja lebih untuk menjaga isi rumah, ada juga yang terpaksa menanggung ahli keluarga yang tidak mempunyai pendapatan di waktu PKP ini dan pelbagai lagi hal-hal peribadi yang lain.

“Belum lagi dikira para pemain yang masih tidak mendapat gaji walau sebelum penangguhan liga berlaku. Dan seperti semua maklum, pasukan-pasukan yang memberi bayangan untuk pemotongan gaji adalah dalam kalangan pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji.

“Kita baru sahaja digemparkan dengan pendedahan pemain-pemain dari Skuad Piala Presiden dan Belia Kelantan bagi musim 2019 yang masih tidak mendapat gaji mereka. Kita juga dimaklumkan bahawa pasukan Melaka United telah dipotong mata atas kegagalan melunaskan bayaran seperti yang dijanjikan. Maka apakah nasib dan pilihan yang ada buat para pemain yang terkesan ini untuk kelangsungan hidup mereka?” menurut kenyataan itu.

PFAM juga menegaskan mereka tidak mahu mencetuskan polemik antara pasukan dan pemain, sebaliknya sekadar menggesa agar setiap pasukan melunaskan tanggungjawab mereka selaku majikan dan menganggap isu potongan gaji mahupun penangguhan gaji (jika ada), tidak seharusnya dibangkitkan ketika ini.

“Kami agak berdukacita, dengan segala usaha yang kami lakukan demi pasukan, bermain dengan sepenuh hati, berjuang tanpa henti, merisikokan diri dengan kecederaan yang boleh menutup karier kami, mematuhi segala arahan dan obligasi di dalam kontrak, tetapi ketika kita semua berhadapan ancaman segetir ini, ada pasukan melihat kami sebagai liabiliti.

“Sehubungan itu, adalah sangat tidak adil, menjadikan para pemain sebagai ‘mangsa’ untuk survivaliti kewangan pasukan.

“Oleh itu, dengan kesepakatan yang ada, kami menyatakan pendirian kami bahawa kami tidak bersetuju dengan sebarang usaha untuk melakukan pemotongan gaji dan bertegas agar kontrak dipatuhi sebaiknya. Kami berharap agar pihak pasukan dapat meneruskan pembayaran gaji sepertimana yang termeterai di dalam kontrak, dan segera melunaskan bayaran untuk pemain yang menghadapi tunggakan bayaran.”

Foto : PFAM

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.