‘Hukuman ke atas Farizal Marlias lain, itu standard AFC’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hukuman sekadar berbentuk amaran keras dikenakan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke atas pemain import Kelantan FC, Jack Hindle nampaknya masih menjadi pertikaian hangat dalam kalangan pemerhati dan juga penyokong bolasepak tempatan.

Mana tidaknya, pemain yang melakukan simulasi pun dikenakan penggantungan dua perlawanan, tetapi Jack Hindle yang menolak pengadil secara agresif terlepas tanpa hukuman lebih tegas yang boleh dijadikan pengajaran.

Selain dianggap melucukan oleh bekas pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh, pelbagai persepsi negatif timbul.

Tidak ketinggalan ada yang membandingkan dengan hukuman yang pernah dikenakan Konfederasi Bolasepak Asia ke atas penjaga gol Johor Darul Takzim Farizal Marlias kerana menolak pengadil di penghujung perlawanan menentang Ceres Negros pada 31 Mei 2017.

Farizal Marlias ketika itu dikenakan penggantungan 12 bulan dan didenda AS$40,000 (RM170,567) malah lebih penting keputusan dibuat dalam masa hanya sembilan hari, bukannya mengambil masa berminggu atau berbulan lamanya.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul John, berkata untuk membandingkan hukuman dikenakan ke atas Farizal Marlias dan pemain di Liga Malaysia adalah tidak betul.

“Standard AFC dalam mengenakan hukuman adalah tinggi dan kita ada tatacara sendiri untuk mengendalikan kes membabitkan keganasan terhadap pengadil atau pegawai. Kalau AFC tidak melindungi pengadil, jadi siapa yang akan melindungi mereka?

“Cuma dalam kes ini, kita tidak bolehlah ulas kerana keputusan sudah ditetapkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM yang juga adalah satu badan bebas. Ini ibarat kita mahu mengulas keputusan sesuatu mahkamah.

“Sebab itulah kita tidak boleh bandingkan bentuk hukuman AFC dan dalam kes ini, dengan FAM. Terpulang kepada badan bebas mereka untuk menentukan bentuk hukuman yang difikirkan wajar.

“Ada had minimum dan maksimum dalam penetapan sesuatu hukuman sama seperti yang ada di mahkamah juga. Standard AFC memang tinggi (dalam tentukan hukuman) jadi kalau ada yang mahu ikut, itu sangat baik,” kata Windsor Paul.

Sebagai rekod, selain amaran keras dikenakan ke atas Jack Hindle, Jawatankuasa Tatatertib FAM dipengerusikan Datuk Baljit Singh Sidhu turut sekadar memberi amaran kepada pemain Melaka United Alex Goncalves yang membaling bola ke arah pengadil ketika perlawanan menentang PJ City FC.

Manakala satu lagi kes yang dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib membabitkan Natxo Insa, juga kerana menolak pengadil, belum dibicarakan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.