Hussein El Dor, Charlie Machell dijangka perkuat Perak FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Di sebalik bergelut dengan masalah kewangan dan tunggakan gaji yang menyebabkan ramai pemain angkat kaki, Perak FC tetap bernafsu untuk memburu pemain import baru bagi memperkuatkan pasukan.

Difahamkan Perak FC akan membawa masuk pemain dari Lubnan, Hussein El Dor bagi menggantikan Shakir Hamzah selain turut mendapatkan khidmat Charlie Machell dari England sebelum jendela perpindahan kedua ditutup, demikian menurut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Sebagai rekod, Hussein El Dor yang beraksi di posisi pertahanan tengah pernah menyarung jersi Perak pada pertengahan tahun 2019, membantu mereka menamatkan musim di tangga kelima.

Dia kemudiannya berkelana ke Indonesia untuk beraksi dengan PSM Makasar sebelum pulang ke negara kelahiran untuk mewakili Al Ansar FC.

Charlie Machell yang bermain di posisi tengah pula merupakan produk Akademi Newcastle yang berpengalaman bermain di Asia Tenggara bersama kelab Singapura dan Kemboja.

Bukan hanya dua pemain itu, turut dikaitkan dengan Perak FC adalah seorang lagi bekas pemain mereka Jad Noureddine (juga dari Lubnan) dan Ndumba Makeche yang pernah bermain dengan Sarawak, Perlis, Felda United dan Penang FC.

Mengejutkan juga masih ada pemain mahu beraksi dengan Perak FC mengambil kira situasi semasa pasukan itu yang sedang dihimpit pelbagai kemelut, malah masih belum ada penyelesaian terhadap krisis kewangan kritikal mereka.

Malah Perak FC sendiri sepatutnya tidak mengambil risiko berani mati seperti ini dan sewajarnya memahami kedudukan kantung mereka sebelum membuat keputusan memancing pemain baru, lebih-lebih lagi pemain import.

Lebih elok sekiranya mereka menggunakan sahaja pemain sedia ada dan mengetengahkan pemain-pemain muda dari skuad Perak II setidak-tidaknya sehingga mendapat penaja atau pelabur baru dan keadaan kewangan kembali pulih.

Skuad the bos gaurus setakat ini telah kehilangan khidmat enam pemain kesebelasan utama di mana Shahrul Saad dan Guilherme De Paula  menyertai Johor Darul Takzim; D.Kenny Pallraj dan J.Pathiban menyertai KL City FC; Shakir Hamzah pula meminta pelepasan dan pulang untuk bermain di Liga Singapura; manakala yang terbaru Nazirul Naim Che Hashim membuat keputusan menyertai Sabah FC.

Beberapa pemain utama lain seperti Hafizul Hakim Khairul Nizam, Idris Ahmad, Amirul Azhan Aznan dan Rafiuddin Rodin pula dijangka terus kekal bersama Perak FC.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.