Awal musim ini, PDRM FA menerima tamparan hebat apabila dikenakan pemotongan tiga mata oleh Malaysian Football League (MFL) kerana masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan musim lalu.
MFL telah memberikan tempoh sehingga 28 Februari 2020 untuk perkara itu diselesaikan, atau mereka berdepan pemotongan enam lagi mata. PDRM FA bernasib baik kerana menjelang tarikh akhir itu, mereka berjaya mencapai persetujuan pembayaran secara berkala dengan kesemua pihak terlibat.
Selepas lebih tiga bulan, hutang itu akhirnya selesai dibayar. Ia disahkan Setiausaha Kehormat PDRM FA, ACP Zulkefly Yahya dan beliau berharap pasukan itu tidak lagi dilabel pasukan bermasalah.
“Memang pada awal musim, kami ada masalah gaji sehingga dipotong tiga mata, tetapi kami sudah selesaikan kesemua tunggakan itu menerusi rundingan dengan pemain. Kami buat penjadualan pembayaran tiga kali bermula 50 peratus, 30 peratus dan 20 peratus.
“Walaupun kami pasukan kecil tetapi kami telah berjaya selesaikan semua tunggakan sehingga bulan April. Untuk gaji pasukan senior, kami yakin tidak timbul sebarang masalah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada Rabu.
Difahamkan jumlah keseluruhan tunggakan yang telah dibayar PDRM FA adalah sekitar RM1.3 juta.
Dalam pada itu, Zulkefly memberitahu pemain-pemain Piala Presiden dan Piala Belia tidak akan diabaikan dan akan dibayar pampasan mengikut garis panduan ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia, iaitu minimum 25 peratus daripada baki kontrak.
FAM pada awal bulan ini mengumumkan bahawa saingan Piala Presiden dan Piala Belia dibatalkan susulan penularan Covid-19.
Foto : PDRM FA