Ia bukan rundingan pintu belakang, FAS sudah dapat kebenaran FAM

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Dr Johan Kamal Hamidon menafikan mereka terlibat di dalam cubaan mendapatkan Mohamadou Sumareh melalui rundingan ‘pintu belakang’.

Dakwaan itu timbul selepas pemilik Johor Darul Takzim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan kontrak yang ditawarkan FAS kepada pemain sayap kontroversi itu, pada ketika belum ada pengesahan rasmi mengenai statusnya bersama Pahang.

Berdasarkan pendedahan oleh Tunku Ismail itu, Sumareh ditawarkan kontrak selama dua tahun dari 2021-2023 dengan bayaran gaji USD17,000 (RM70,482) dan ditawarkan pelbagai elaun dan bonus lain.

“Bagi pihak FAS kita tak langgar apa-apa peraturan. Tawaran itu dibuat dengan cara betul, saya pun siap minta kebenaran daripada FAM lagi, sebelum berunding dengan Sumareh untuk tahu tentang status dia.

“Dari pihak Selangor kita nak buat sesuatu dengan cara betul dan saya difahamkan kita boleh berunding dengan Sumareh berdasarkan perbualan saya dengan pengurusan tertinggi FAM.

“Tawaran itu biasa seperti kami tawarkan kepada mana-mana pemain lain. Sama ada dia nak terima atau menolak itu terpulang kepada Sumareh.

“Saya boleh jamin kita bukan puncanya (Sumareh tinggalkan Pahang). Cuma saya tak boleh cerita lebih sebab nanti akan jadi lebih besar. Masalah dia dengan Pahang kami tak masuk campur,” kata Johan Kamal dipetik daripada Arena Metro.

Turut didedahkan Tunku Ismail adalah perbualan whatsapp antara Sumareh dan Pengarah Teknikal FAS Michael Fechtenbeiner.

Michael menyatakan dia akan cukup gembira jika Sumareh menyertai Selangor musim depan kerana dia adalah pemain yang cukup sempurna untuk Selangor dan menjanjikan untuk mengangkat darjatnya ke tahap lebih tinggi dan menjadikannya salah seorang pemain terbaik dalam negara.

“Berkaitan proses rundingan yang dibuat sendiri Feichtenbeiner tak salah, kerana beliau adalah TD dan tahu apa corak dan DNA yang sesuai untuk Selangor.

“Bila kita merancang untuk tahun depan, kita akan merisik beberapa pemain tapi kita tak tandatangan sesiapa pun, cuma kita merisik mereka dan lihat apa faedah yang mereka boleh dapat kalau main dengan kita.

“Jadi Feichtenbeiner ini memang terbabit secara langsung dalam beberapa sesi rundingan kerana beliau yang akan rancang persediaan Selangor untuk musim depan,” kata Johan lagi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.