“Ia perkara biasa dalam bolasepak, kita bukan superman,” tegas Benjamin Mora

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hasrat Johor Darul Takzim (JDT) untuk bangkit dari kekalahan di tangan Terengganu FC dan menamatkan aksi pusingan pertama Liga Super 2021 dengan kemenangan, digagalkan KL City.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, dengan KL City mendahului di separuh masa pertama menerusi Romel Morales manakala JDT membalas menerusi Hariss Harun.

Ini adalah kali keempat JDT mencicirkan mata musim ini dan jika dalam semua tiga perlawanan sebelum ini (Selangor, Perak dan Terengganu) Benjamin Mora menyalahkan pasukan lawan, berbeza nadanya kali ini.

Pengendali dari Mexico itu memberitahu ia adalah normal untuk mana-mana pasukan mengharungi fasa sukar tetapi tidak bersetuju dengan pandangan bahawa pasukannya mengambil mudah cabaran KL City dan tidak menunjukkan kesungguhan tinggi terutama di separuh masa pertama.

“Kita bermain dengan intensiti tinggi sejak dari separuh masa pertama. KL main dengan baik, kompak, tersusun dan mencabar. Kita mencipta banyak peluang, cuma tidak dapat menjaringkan gol.

“Percubaan Gonzalo (Cabrera) terkena tiang dan ada beberapa hantaran lintang berkualiti yang tidak dapat disudahkan. Kita menekan mereka sepanjang 95 minit jadi saya tidak nampak apa yang dikatakan tidak tunjukkan kesungguhan.

“Memang kita kehilangan mata, ia normal dalam bolasepak. Tetapi tiada apa yang berlaku (di kem JDT), kita cuma tidak menang. Kita masih di tangga teratas liga dan cuba mengekalkan kedudukan itu.

“Tiada keraguan mengenai kesungguhan para pemain, mereka buat yang terbaik, ya mereka telah buat dengan sangat-sangat bagus, kita boleh lihat bagaimana mereka tidak henti berlari, melakukan hantaran, gerakan, cuma kita tidak menang, itu sahaja, inilah bolasepak.

“Saya lihat satu lagi permainan berbeza dari JDT, pemain-pemain telah bermain sebagai satu pasukan dan membuat yang terbaik.

“Setiap pasukan akan mengalami fasa sukar dalam satu-satu musim, itu biasa, kita telah berada lama di tangga teratas dan sedang melalui saat sukar. Kita bukan superman, yang penting kita fokus, kerja keras dan terus pandang ke depan,” kata Benjamin Mora.

Keputusan seri menentang KL City menyaksikan JDT mengakhiri pusingan pertama dengan 24 mata.

Foto : Johor Southern Tigers

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.