“Ifedayo hisap ganja ke?” soal TMJ

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Beberapa minggu yang lalu, penyerang Selangor FC, Ifedayo Olusegun menyatakan pandangannya bahawa tidak ada pasukan lain yang lebih hebat dan  lebih besar berbanding pasukannya itu dalam kancah Liga Malaysia.

Ifedayo ketika ditemuramah dalam rancangan Man On The Street oleh Astro berkata Selangor mempunyai reputasi gah dan kelab paling berjaya di Liga Malaysia, malah dia juga memberitahu jika mencari di google mengenai Liga Malaysia, nama Selangor yang akan muncul menunjukkan mereka adalah kelab terbesar.

Artikel mengenainya pernah disiarkan Labola Malaya, boleh klik pada pautan di bawah untuk membaca apa yang dikatakan oleh Ifedayo Olusegun.

Berita berkaitan : “Selangor satu-satunya pasukan hebat berdasarkan kepada rekod dan pencapaian” – Ifedayo Olusegun

Pemilik Johor Darul Takzim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) bagaimanapun, menganggap kenyataan pemain itu sebagai lucu dan bertanya sekiranya pemain itu ‘mabuk’ ganja ketika ditemuramah.

“Pada pandangan saya, tidak logik. Saya tak tahu apa dia hisap, dia hisap ganja ke? Lebah tidak membuang masa memberi keterangan kepada lalat bahawa madu lebih lazat daripada najis.

“Mungkin dalam segi sejarah, Selangor lebih besar daripada JDT tetapi berdasarkan kedudukan semasa, JDT adalah pasukan terbesar dalam negara ini. Saya bagi contoh, berapa pusat latihan yang Selangor ada? JDT ada empat.

“Berapa stadium Selangor ada? JDT ada empat. Sekarang pernah atau tidak Selangor pada zaman kegemilangannya, menang Liga Super lebih daripada dua kali? JDT hatrik bukan sekali tetapi dua kali.

“JDT juga pernah menang liga sebanyak dua kali tanpa tewas. Rekod 75 perlawanan tanpa kalah di laman sendiri dan hari ini, belum tewas dalam 33 perlawanan di laman lawan. Selangor pernah menang pertandingan antarabangsa? JDT menang Piala AFC.

“Selangor pernah main di Liga Juara-Juara Asia (ACL)? JDT sudah main tiga kali. Bukan cerita zaman dulu masa belum ACL tetapi kedudukan sekarang pada senario bola sepak moden. Apa yang saya cakapkan ini adalah fakta dan bukan saya bercakap daripada hati.

“Saya rasa saya lebih tahu kelab mana lebih besar dalam negara ini. Bagaimana dengan apa yang JDT sudah kecapi dan dengan pencapaian ini, Selangor adalah pasukan lebih besar daripada JDT?,” ujar Tunku Ismail dalam satu sesi temubual di laman instagram dikendalikan pengacara sukan, Hafizal Hamad.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.