Shahrel Fikri Mohd Fauzi mungkin gagal untuk memenangi gelaran penjaring terbanyak Liga Super 2020, tetapi 10 gol jaringannya musim ini tatkala liga hanya berlangsung 11 perlawanan dianggap sebagai sesuatu yang menakjubkan.
Ia diakui oleh penyerang import Selangor, Ifedayo Omosuyi Olesegun yang muncul sebagai penjaring terbanyak musim ini seterusnya memenangi kasut emas, mengecewakan Shahrel Fikri pada hari terakhir saingan.
Penyerang kelahiran Nigeria itu meledak hatrik pada aksi terakhir ketika membantu Selangor menjinakkan Felda United 6-1 seterusnya mengumpul jumlah keseluruhan 12 gol musim ini tatkala Shahrel Fikri pula gagal menambah koleksi jaringan ketika Perak tewas 2-3 kepada Kedah.
Baca : Shahrel Fikri gigit jari, terlepas peluang menang kasut emas
Dengan carta penjaring lazimnya didominasi oleh pemain-pemain import, Ifedayo Olusegun berpendapat pencapaian Shahrel Fikri itu wajar membuka mata ramai dan dikagumi oleh penyokong bolasepak tanah air.
“Saya ada tonton rakaman permainannya dan posisinya untuk mendapatkan gol sememangnya amat hebat. Saya fikir Malaysia perlu berasa bertuah kerana mempunyai pemain seperti itu, yang mempunyai kebijaksanaan di depan gol.
“Bagi saya, walaupun dia tidak dapat menamatkan musim selaku penjaring terbanyak, dia layak menerima satu pengiktirafan sebagai seorang pemain tempatan yang mampu melakukan sejauh itu. Ia amat-amat menakjubkan,” katanya.
Selepas cemerlang meledak tujuh gol dalam empat perlawanan terakhir, Shahrel Fikri dilihat berpeluang untuk muncul sebagai pemain tempatan pertama dalam tempoh 9 tahun untuk bergelar penjaring terbanyak Liga Super.
Kali terakhir, ia dilakukan oleh Abdul Hadi Yahya (Terengganu) pada musim 2011, tetapi ketika itu Liga Malaysia tiada kelibat pemain import justeru jika Shahrel Fikri dapat melakukannya dengan menewaskan pemain import ia akan dikenang sebagai pencapaian istimewa.
Namun, skrip berubah pada perlawanan terakhir apabila hatrik dijaringkan Ifedayo Olusegun menyaksikannya berjaya memotong Shahrel Fikri di selekoh terakhir, dan penyerang itu sedikit tertekan kerana turut memerlukan hatrik dalam perlawanan Perak menentang Kedah untuk bergelar penjaring terbanyak.
Peluang terbaik pertama diperolehinya adalah pada minit ke-41 apabila diberi mandat untuk mengambil sepakan penalti walaupun sepakan biasanya diambil oleh Guilherme De Paula/Leandro Dos Santos.
Tetapi Shahrel Fikri yang dihambat tekanan gagal menyudahkan sepakan itu, namun dalam masa sama Perak boleh menarik nafas lega kerana pengadil meminta sepakan itu diambil semula kerana kesilapan teknikal oleh penjaga gol.
Dengan Perak yang ketinggalan 0-2 turut terdesak untuk kembali dalam permainan, sepakan semula itu diambil oleh Leandro Dos Santos dan dia berjaya menyempurnakannya untuk merapatkan jurang dan empat minit kemudian menanduk masuk gol penyamaan menjadikan kedudukan 2-2.
Shahrel Fikri gagal untuk menyerlah pada aksi terakhir tetapi dia tetap telah melakukan sesuatu yang membanggakan, 10 gol dalam 11 perlawanan dan untuk itu dia tetap perlu diberi kredit.