Ifedayo puji Bergson da Silva sebagai penyerang luar biasa

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kecemerlangan ditunjukkan penyerang baru Johor Darul Takzim (JDT), Bergson da Silva nampaknya turut dikagumi pemain pasukan lain.

Antara yang memberi pujian kepada pemain dari Brazil itu termasuklah penyerang Selangor FC, Ifedayo Olusegun, yang juga pemenang kasut emas penjaring terbanyak Liga Super musim lalu.

Malah Ifedayo tidak menafikan kehadiran Bergson da Silva sebagai sesuatu yang positif dalam membantu  meningkatkan lagi prestasinya selain menyuntik motivasi bagi memburu lebih jaringan musim ini.

Penyerang dari Nigeria itu tidak melihat kehadiran Bergson da Silva yang telah menjaringkan lapan gol dalam enam perlawanan setakat ini sebagai ancaman untuknya mempertahankan kasut emas sebaliknya berpendapat dia menjadikan saingan Liga Malaysia semakin kompetitif.

Dan dia mengakui kualiti penyerang yang dipinjamkan dari kelab Fortaleza itu antara terbaik pernah disaksikan.

“Selepas pernah berdepan dengan Bergson dalam perlawanan lalu (JDT lawan Selangor), dia memang seorang pemain yang bagus dan berkualiti, memang antara penyerang luar biasa selain Kpah Sherman di Kedah.

“Dia (Bergson) sudah melakukan tugasan yang cemerlang bersama pasukannya dengan membantu pasukan dan pujian kepadanya kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang penyerang.

“Jika kita mahu memenangi sesuatu, tiada jalan mudah sebenarnya dan saya lebih sukakan situasi sebegini kerana akan menuntut saya bekerja keras apabila menyedari ada seseorang yang berada di tahap lebih baik buat masa sekarang.

“Sudah tentu saya akan lebih bermotivasi dan akan menekan diri saya berikan yang terbaik dalam tiap perlawanan bagi mendapatkan lebih banyak jaringan sehingga aksi terakhir.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenai pertahankan gelaran penjaring terbanyak kerana apa yang jadi sasaran saya ialah secara purata mahu mendapatkan satu gol dalam tiap perlawanan yang dilalui selain membantu Selangor meraih kemenangan,” katanya.

Musim lalu, Ifedayo memenangi kasut emas selepas menjaringkan 12 gol dalam 11 perlawanan, mengatasi Shahrel Fikri dengan perbezaan dua jaringan.

Dia ketika ini telah mengumpul lima jaringan, terbaru meledak hatrik ketika membantu Selangor membenam cabaran Perak FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sekaligus meletakkannya di tangga kedua senarai penjaring.

Sebelum ini, kemampuannya menjadi sedikit pertikaian dalam kalangan penyokong Selangor apabila sekadar menjaringkan dua gol dalam tujuh perlawanan.

Dalam pada itu, Ifedayo akui Selangor sudah mula menemui prestasi yang konsisten selepas permulaan yang tidak menentu dalam beberapa perlawanan awal Liga Super.

“Kami semakin baik dari perlawanan ke tiap perlawanan dan kemenangan bertemu Perak menandakan yang pasukan ini berada di satu tahap lebih baik ketika tewas kepada Kedah.

“Saya rasakan perubahan yang semakin positif dalam Selangor kerana keserasian sesama kami tampak kian meningkat, cuma keputusan yang merupakan aspek paling penting buat masa ini.

“Pasukan ini mempunyai ramai pemain baharu, begitu juga pemain muda selain sistem yang berbeza berbanding musim lalu, jadi semua perkara ini akan mengambil sedikit masa sebelum sesuatu yang hebat mampu berlaku,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.