Pengendali Melaka United, Asri Ninggal jelas tidak dapat menyembunyikan kegembiraan setelah pasukannya berjaya membenam Selangor FC 2-0 di laman sendiri dalam aksi Liga Super pada Selasa.
Dua gol jaringan bekas penyerang Selangor, Ifedayo Olusegun pada setiap babak permainan membolehkan Melaka United meraih kemenangan ketiga mereka musim ini dan melonjak ke tangga kelapan.
Lebih manis, Asri Ninggal mendedahkan bahawa Ifedayo sebenarnya tiada dalam perancangan untuk diturunkan kerana masih bergelut dengan kecederaan harmstring yang dialami minggu lalu.
“Pada malam ini sebenarnya Ifedayo tiada dalam perancangan, tapi sebab kita tahu dia datang dari Selangor, dia nak main, kita bagi peluang kepada dia. Dalam satu dua hari ini dia turun latihan, kita pantau, kita tengok kecederaan dia pun semakin ok, jadi kita buat keputusan untuk turunkan dan ternyata keputusan itu tepat apabila dia menjaringkan dua gol untuk membantu kita menang,” kata Asri selepas perlawanan.
Topik kecederaan Ifedayo menjadi bualan penyokong bolasepak tanah sejak beberapa hari yang lalu berikutan dia dilaporkan mengalami kecederaan harmstring sehingga menyebabkannya tidak dapat diturunkan menentang Johor Darul Takzim pada minggu lalu.
Sehari sebelum perlawanan sebuah akhbar tempatan melaporkan dia sebenarnya dipinjam daripada JDT justeru ramai yang tertanya-tanya dengan status sebenar pemain itu adakah dia tidak diturunkan ketika itu kerana status sebagai pemain pinjaman ataupun kerana kecederaan.
Bagi Asri Ninggal, selain memuji Ifedayo serta beberapa pemain lain termasuk penjaga gol Bryan See atas kecemerlangan menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya, dia berkata kemenangan dibantu oleh moral pemain yang dalam keadaan baik selepas mengikat JDT 1-1 pada Sabtu lalu.
“Saya cakap dengan pemain, kalau mereka boleh seri dengan JDT, maka mereka sebenarnya boleh main dengan sesiapa pun. Kekalkan momentum, jangan bagi graf prestasi itu menurun. Selepas aksi menentang JDT, kita cuma ada dua hari untuk recovery, tapi pemain lupakan keletihan, dan menunjukkan kesungguhan, sikap dan keinginan untuk bermain bola.
“Kemenangan ini bukan kerana seorang dua pemain, tetapi kerana usaha sepasukan, kerjasama sepasukan, mereka membuktikan mereka boleh bermain dengan baik,” ujarnya lagi.