Irfan Bakti Abu Salim nyata kurang senang dengan penjadualan Piala Malaysia, tatkala pasukannya Kuching City yang baru sahaja bermain pada Jumaat hanya mempunyai rehat sehari sebelum turun beraksi pada Ahad.
Tatkala saingan Liga Premier 2021 menutup tirai pada Isnin lalu (20 September) yang mana sepatutnya sudah menjadi aksi terakhir bagi kesemua pasukan, hanya Kuching City dan Kelantan United mempunyai satu lagi perlawanan untuk diharungi.
Perlawanan antara kedua-dua pasukan itu sepatutnya berlangsung pada 11 September mengikut jadual asal tetapi ditunda ke 24 September kerana kes positif Covid-19.
Ini menyebabkan aksi terakhir liga berlangsung terlebih dahulu dan kemudiannya baru lah perlawanan tertunda itu, sesuatu yang disifatkan pelik oleh pemerhati bolasepak.
Dan disebabkan Kuching City telahpun mengesahkan kemaraan ke Piala Malaysia sebelum perlawanan menentang Kelantan United selain telah mengharungi jadual padat, maka mereka memilih untuk merehatkan beberapa tonggak utama.
Pemain seperti Joseph Kalang Tie dan Ramesh Lai tidak bermain manakala Yuta Suzuki dan Aylton Alemao hanya beraksi di separuh masa kedua.
Ini membolehkan Kelantan United mengambil kesempatan melakar kemenangan 3-1 dan menyambar slot terakhir ke Piala Malaysia, sekaligus mengecewakan PDRM FC.
Kuching City kekal di kedudukan kelima Liga Premier 2021 sekaligus menyaksikan mereka menyertai Kumpulan B Piala Malaysia bersama-sama Terengganu FC, Selangor FC dan Perak.
Aksi Kumpulan A dan B akan berlangsung Ahad, manakala Kumpulan C dan D pula pada Isnin.
Selepas perlawanan, Irfan Bakti mengatakan kalau diikutkan pasukannya boleh sahaja tewas dengan jaringan lebih besar supaya dapat memilih untuk masuk ke dalam Kumpulan D dan mendapat rehat lebih sehari.
“Kami boleh saja nak elak perlawanan Ahad ini menentang Terengganu, kami boleh kalah 7-0 kepada Kelantan United dan pastinya akan ada perubahan dalam kumpulan yang mana kami akan berada di Kumpulan D sebagai pasukan LP 4 dan akan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Isnin ini.
“Pemain pun boleh mendapat rehat secukupnya tapi kami kenalah jaga reputasi kerana ramai pengkritik akan mempersoalkan Kuching City FC jika kami buat keputusan untuk tewas dengan jaringan besar kerana mereka akan persoalkan kehadiran kami dalam saingan piala berprestij ini.
“Jadi untuk sekurang-kurang pemain mendapat rehat kami terpaksa ambil keputusan bertolak dengan bas ke Kuala Terengganu pada malam ini (semalam) dalam pukul 11.30 malam. Itu sahaja cara dan apabila kami tiba di sana bolehlah pemain berehat.”