Indonesia, pasukan hebat yang tidak pernah bernasib baik di Piala AFF

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Indonesia boleh dikatakan nama yang cukup gah dalam arena bolasepak Asia Tenggara.

Mereka sentiasa menjadi pasukan tumpuan dalam mana-mana pertandingan serantau malah sentiasa berjaya menghimpunkan pemain-pemain berkualiti dan hebat di dalam timnas mereka.

Antara nama yang cukup dikenali adalah seperti Bambang Pamungkas, Elie Aboy, Andik Vermansyah, Kurniawan Dwi Yulianto, Irfan Bachdim, Ilham Jaya Kesuma, Ponaryo Astaman hinggalah yang terbaru Bayu Pradana, Septian David Maulana dan Saddil Ramdani.

Adanya penyokong yang luar biasa fanatik dan ekstrem, sehinggakan kejohanan bawah umur pun sentiasa dilimpahi penyokong, turut menyumbang kepada sebab mengapa Indonesia sentiasa menjadi satu daripada pasukan tumpuan.

Meskipun mempunyai reputasi gah, skuad yang hebat serta bilangan penyokong yang mengagumkan, timnas Indonesia di peringkat senior pada hakikatnya tidak ada sebarang pencapaian besar untuk dibanggakan.

Kali terakhir Indonesia memenangi pingat emas Sukan Sea adalah melalui pasukan senior pada 1991, selepas itu sehinggalah bolasepak di Sukan Sea sudah dihadkan kepada B-23, mereka tidak pernah mengulanginya walaupun dua kali mara ke final pada 1997, 2011 dan 2019.

Dan jangan terkejut, Indonesia tidak pernah sekalipun menjuarai Piala AFF. Ya, dalam sejarah 24 tahun penganjuran dan 12 edisi telah berlangsung, Indonesia tidak pernah merasai nikmat bergelar juara.

Lima kali muncul naib juara

Pencapaian terbaik mereka adalah muncul naib juara lima kali pada edisi 2000, 2002, 2004/05, 2010 dan 2016.

Pada tahun 2000, mereka tewas 1-4 kepada Thailand dalam aksi final menerusi jaringan hatrik Worawoot Srimaka dan Tanongsak Prajakkata.

Pada 2002 pula, Indonesia menewaskan Malaysia untuk mara ke final namun sekali lagi dihampakan Thailand dalam aksi final.

Perlawanan masa sebenar berkesudahan seri 2-2 dan Thailand menang penalti 4-2.

Bermula edisi 2004/05 peringkat kalah mati mula dimainkan secara timbal balik. Indonesia mara ke final kali ketiga berturut-turut namun kali ini dikecewakan pula oleh Singapura dengan agregat 5-2.

Peluang terbaik Indonesia menoktahkan penantian panjang adalah pada 2010, ketika mereka menjadi tuan rumah malah bermula garang dengan mengaibkan Malaysia 5-1 dalam aksi pembukaan.

Indonesia AFF 2010 Indonesia, pasukan hebat yang tidak pernah bernasib baik di Piala AFF

Kedua-dua pasukan kembali bertemu dalam aksi final, namun kali ini Malaysia pula tampil garang apabila menang 3-0 di Bukit Jalil. Walaupun Indonesia menang 2-1 di Bung Karno, Malaysia kendalian K.Rajagobal muncul juara pertama kali menerusi agregat 4-2.

Seterusnya pada 2016, Indonesia hampa lagi. Menang 2-1 dalam aksi pertama menerusi jaringan Rizky Pora dan Hansamu Yama, mereka bagaimanapun kecundang 0-2 dalam aksi kedua.

Hakikatnya, Indonesia adalah pasukan kedua paling banyak beraksi di final selepas Thailand di Piala AFF, tapi tidak pernah bernasib baik untuk menang.

Mereka boleh dikatakan sudah tiada harapan dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan telah membawa masuk  Shin Tae Yong bagi pembentukan semula pasukan dan mensasarkan Piala AFF 2020 sebagai permulaan kebangkitan.

Mungkinkah nasib mereka akan akhirnya berubah?

Foto : Asean Football

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.