Indra Putra, berusia 40 tahun dan masih lagi material kesebelasan utama

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas penyerang kebangsaan, Indra Putra Mahyuddin merupakan seorang pemain yang pendiam dengan karakter yang luar biasa menakjubkan.

Itu pandangan ketua pasukan Pulau Pinang, Azmi Muslim yang mengakui cukup mengagumi pemain veteran berusia 40 tahun yang juga bekas rakan sepasukannya di Kuala Lumpur itu.

Walaupun hanya sempat beraksi bersama selama setengah musim pada 2019, Azmi menganggap ia satu pengalaman cukup istimewa untuk berada dalam satu pasukan sama dengan Indra Putra malah menyifatkan kudrat pemain itu mengalahkan pemain muda.

“Saya mula mengenali Indra Putra ketika pernah bersama-sama di dalam pasukan kebangsaan tetapi pada pengalaman pertama, saya lihat dia seorang yang tidak banyak bercakap. Namun lama kelamaan, saya dapati itu memang karakternya dan apabila kami bermain bersama, saya kagum dengan kerajinan, komitmen serta dedikasi luar biasa sama ada dalam latihan atau perlawanan sebenar.

“Satu lagi Indra ini cukup bijak dalam membaca permainan, yang mana dia boleh tempatkan dirinya di mana bola itu akan berada terutama dalam kawasan lawan. Pada usianya itu, tenaga Indra masih seperti pemain muda dan masih lagi merupakan pemain yang boleh beraksi 90 minit penuh.

“Mungkin itu sebab khidmatnya masih ditagih oleh kebanyakan pasukan sehingga saat ini malah dia seorang yang tidak lokek berkongsi ilmu dengan pemain-pemain muda,” kata Azmi yang berpendapat disiplin tinggi pemain itu di luar dan dalam padang adalah ‘mastermind’ sebenar perjalanan kariernya.

Indra Putra merupakan penjaring terbanyak Liga Super edisi sulung pada 2004 dan tonggak kejayaan treble bersejarah Kelantan pada 2012, di mana dia menjaringkan gol kemenangan masa tambahan ke atas ATM dalam aksi final Piala Malaysia.

Sebagai rekod, pemain yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan Harimau Malaya itu telah menjaringkan lebih dari 100 gol dalam saingan Liga Super merangkumi gol-gol bersama Pahang, Selangor, Kelantan, T-Team, Felda United dan Kuala Lumpur.

Musim ini, dia kekal menyarung jersi skuad warga kota dan kembali bergabung dengan Bojan Hodak, jurulatihnya di Kelantan pada 2012.

Azmi menyenaraikan Indra Putra dalam kesebelasan terbaik Liga Malaysia pilihannya bersama-sama Farizal Marlias, Asraruddin Putra Omar, Norhafiz Zamani Misbah, Ramez Dayoub, Rizal Ghazali, Hariss Harun, Safiq Rahim, Ashaari Samsudin, Baddrol Bakhtiar dan bekas pemain import Kedah, Marlon Alex James.

Mengenai Marlon pula, Azmi berkata bekas pemenang Kasut Emas Liga Super itu sukar dicari ganti dalam saingan Liga Malaysia.

“Marlon ini saya ibaratkan kalau dapat peluang di depan pintu gol, sudah pasti dia akan buat jaringan kerana sentuhan penyudahnya amat berbisa.Saya juga jarang jumpa penyerang sepertinya kerana dia boleh merembat melalui kaki kiri dan kanan malah tandukannya cukup berbisa.

“Kualiti fizikalnya memang sempurna untuk menjadi seorang penyerang dan sebagai pemain pertahanan, saya akui susah untuk merantai pergerakan Marlon,” katanya yang pernah menjadi rakan sepasukan pemain itu pada musim 2012 di ATM.

Foto : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.