Ingat lagi gol Nani ini yang dianggap paling ‘tidak bermoral’ dalam sejarah EPL?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Luis Nani mungkin tidak berjaya mencipta nama sehebat rakan senegara Cristiano Ronald0 di Manchester United, tetapi dia tetap berjaya memahat nama sebagai salah seorang pemain berjaya dalam jersi Red Devils dengan menjulang empat gelaran Liga Perdana Inggeris, selain Liga Juara Eropah dan juga Piala Dunia Kelab.

Dia juga pastinya dikenang penyokong Manchester United sebagai salah seorang pemain yang banyak menjaringkan gol-gol cantik dan menakjubkan melalui rembatan meroket ke gawang lawan. Cara dia meraikan gol dengan gaya akrobatik juga seringkali mencuri tumpuan ramai.

Bayangkan gol EPL pertama Nani bersama Manchester United itu sendiri satu gol yang cukup sensasi, apabila dia melepaskan rembatan padu cukup kencang dari jarak 30 meter yang sama sekali gagal diselamatkan penjaga gol Tottenham Hotspurs, Paul Robinson. United menang perlawanan itu 1-0.

Tetapi dalam banyak gol cantik menarik dijaringkan pemain Portugal itu, ada satu gol yang cukup kontroversi dan kekal sebagai gol ‘pelik’ yang pernah disaksikan dalam arena bolasepak inggeris, juga ketika menentang Spurs kira-kira tiga tahun selepas gol sulung cukup sensasi itu.

United mendahului 1-0 dan Nani membuat larian ke dalam kotak penalti sebelum terjatuh akibat tekanan daripada Younes Kaboul.

Pengadil tidak mengendahkan permintaan penalti daripada pemain itu dan meneruskan permainan, tetapi bukan itu kontroversinya.

Kontroversi yang sebenar adalah ketika Nani terjatuh dia sudahpun memegang bola – secara teknikal ia adalah foul – maka disebabkan itu penjaga gol Spurs, Heurelho Gomes mengambil bola dari tangan Nani dan menjangkakan pasukannya telah mendapat sepakan percuma.

Gomes tidak sedar, pengadil tidak meniup wisel ketika Nani memegang bola (dia tidak nampak) bermakna Spurs bukannya mendapat sepakan percuma dan sebenarnya bola masih dalam permainan, justeru ketika penjaga gol itu meletakkan bola ke tanah untuk melakukan sepakan, Nani yang datang dari belakang meluru ke arah bola, sempat mengerling seketika ke arah pengadil sebelum menyepak bola masuk ke dalam gawang.

Dia meraikan gol itu dengan begitu girang tanpa sedikitpun rasa bersalah. Ya, memang berdasarkan peraturan permainan – teruskan bermain jika tiada wisel dibunyikan – maka Nani tidak boleh dipersalahkan tetapi dia dikritik hebat kerana tidak menunjukkan semangat kesukanan.

“Kelakar sungguh untuk menamatkan permainan dengan cara begini. Ianya handball dan sangat jelas dia sengaja memegang bola itu, dia sepatutnya dilayangkan kad, semua orang nampak dia pegang bola jadi kami sangkakan ia adalah sepakan percuma, bagaimana pengadil boleh tak nampak?

“Dia terbaring kononnya dijatuhkan dan terus memegang bola sambil mengharapkan penalti tetapi pengadil tidak memberikannya, jadi mengikut peraturan sudah tentu ia adalah foul  dan sepakan percuma untuk kami. Ia gol yang tidak bermoral, keputusan yang sangat kontroversi dan pengadil merosakkan segalanya,” kata pengurus Spurs ketika itu Harry Redknapp.

Di sebalik kritikan dilemparkan, gol kontroversi dan pelik Nani itu adalah sah mengikut peraturan, tetapi sama ada ia boleh diterima secara moral dengan mengetepikan semangat kesukanan, ia persoalan yang berbeza.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.