Ingatkan main-main bawa masuk El-Hadji Diouf – Azzizan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain tengah Sabah, Azzizan Nordin mengakui peluang menimba ilmu serta bermain dalam satu pasukan bersama bekas bintang Senegal dan Liverpool, El-Hadji Diouf, merupakan momen paling istimewa dalam kariernya.

El Hadji Diouf dibawa masuk Sabah pada penghujung 2014 untuk mengharungi saingan musim 2015 dan terus dilantik sebagai kapten pasukan.

Azzizan yang menyarung jersi Sabah buat musim kedua pada waktu itu tidak menyangka dia berpeluang belajar banyak perkara di atas padang bersama El Hadji Diouf yang serba sedikit memantapkan permainannya.

Biarpun karier El Hadji Diouf sudah menuju penghujung ketika sertai Sabah, dia masih antara bintang import terbaik pernah disaksikan Azzizan sepanjang bermain skuad Tambadau yang hampir membantu mereka layak ke Liga Super 2016 namun dikecewakan keputusan kurang baik pada beberapa perlawanan terakhir liga.

“Semasa pengurusan mula-mula mahu membawa masuk Diouf, saya dan rakan-rakan ingatkan ia hanya main-main sahaja dan apabila pada satu hari dia turun latihan, kami semua terkejut seperti tidak percaya.

“Diouf cukup menakjubkan dalam semua segi, teknik terima dan hantaran bolanya, cara dia menyimpan bola sememangnya lain daripada lain serta memang berkelas dunia kerana kita tahu dia pernah beraksi di pentas Piala Dunia serta Liga Juara-juara.

“Saya sendiri diajar oleh Diouf kalau bermain di bahagian tengah, pastikan saya kaji dahulu kedudukan posisi serta rakan-rakan sebelum mahu menerima bola dan bukannya selepas dapat bola, baharu melihat apa pilihan yang ada dan tips ini saya ingat sampai sekarang.

“Bukan sekadar saya, pemain-pemain muda Sabah waktu itu turut diajar sepenuhnya oleh Diouf yang sama sekali tidak lokek ilmu berkongsi dengan kami semua, ” katanya.

KONTROVERSI DAN DILUCUTKAN KAPTEN

Di sebalik perpindahan ke Sabah yang dianggap cukup sensasi ketika itu, pengakhiran karier El Hadji Diouf bersama pasukan itu diselubungi kontroversi.

Pada Julai 2015, pemain yang terkenal suka mencetuskan kontroversi itu sekali lagi membuat perkara sama apabila mempersoal visi dan misi Persatuan Bolasepak Sabah, malah memuji projek pembangunan Johor Darul Takzim menerusi usaha Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dia terang-terangan memberitahu semua pasukan di Malaysia harus mencontohi JDT dan kemudian tersebar gambarnya bersama Tunku Ismail yang dirakam selepas dia dibawa melawat fasiliti JDT.

Dia juga menyatakan keinginan bermain dengan JDT II dan lebih teruk sejak itu dia tidak muncul di kem latihan pasukan Sabah, menyebabkan SAFA melucutkan peranannya sebagai kapten pasukan.

SAFA menganggap tindakan pemain itu tidak professional kerana dia masih berkontrak dan dibayar gaji, selain turut membidas JDT sebagai cuba mempengaruhi pemain itu menerusi rundingan pintu belakang.

“Diouf mempunyai kontrak dengan Sabah dan dia sepatutnya bersama kita bukan pasukan lain termasuk Johor Darul Takzim (JDT). Sebagai pemain, dia tiada hak mempersoalkan misi dan visi pengurusan pasukan kerana kita tidak akan mendedahkannya kepada umum.

“Kita tidak tahu apa masalah dia (Diouf), kita masih bayar gaji dia, itu yang saya tahu, jadi sila main bola untuk Sabah. Apa masalahnya yang lain saya tidak mahu tahu.

“Saya tak nak komen karektor dia (sepanjang bersama Sabah), tetapi semua orang memang ada latar belakang masing-masing.

“Sepanjang separuh saingan liga musim ini sememangnya dia bagus dan main untuk kita sepenuh hati, tetapi sejak perlawanan kita di JDT (menentang JDTII) Diouf sudah tukar, berubah angin,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SAFA ketika itu, TC Goh.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.