“Ini Janji Saya kepada Diri Sendiri Ketika Kembali Ke NS” – Zaquan Adha

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kapten Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha Abdul Radzak menyifatkan kemenangan 1-0 ke atas Sarawak sebagai bukti semangat perjuangan yang dipamerkan rakan sepasukan yang mampu bangkit dalam dua perlawanan terakhir sejak tewas kepada Kelantan FC.

“Kemenangan amat bermakna kerana selepas kalah dengan Kelantan, kami telah berjanji akan berjuang habis-habisan sehingga ke penghabisan biarpun sasaran utama pasukan untuk layak ke Liga Super telah tercapai.

“Saya harus berterima kasih kepada rakan-rakan kerana berjuang hingga minit terahir walaupun tahap kami mungkin begitu berbeza dengan Sarawak United yang rata-rata pemainnya mempunyai kualiti Liga Super.

“Apabila pulang ke Negeri Sembilan, saya memang berjanji pada diri sendiri yang saya balik bukan sekadar untuk habiskan karier tetapi mahu berbakti kepada Negeri Sembilan kerana di sinilah saya mula bertapak bermain dalam bola sepak, jika rezeki kita juara, ini adalah kerjasama rakan-rakan dan pengurusan,” kata Zaquan Adha.

Dalam aksi di Stadium Bolasepak Cheras, Negeri Sembilan mencatat kemenangan menerusi jaringan Francis Kone pada masa kecederaan sekaligus mengheret penentuan kejuaraan Liga Premier ke aksi terakhir.

Tiga mata berharga yang diraih juga membuatkan pengendali Negeri Sembilan FC, K.Devan mula optimis peluang mereka untuk merangkul kejuaraan semakin cerah dengan aksi terakhir pada 21 September menentang PDRM FC bakal berlangsung di laman sendiri.

“Sememangnya persembahan yang baik buat Negeri Sembilan kerana fokus serta konsentrasi mereka begitu baik pada situasi bertahan terutama di separuh masa pertama apabila Sarawak lebih banyak menguasai permainan.

“Separuh masa kedua, saya membuat pertukaran beberapa pemain bagi menguatkan bahagian tengah kerana nampak ada masalah untuk merangka pergerakan dan akhirnya kami mendapat sepakan penalti selepas melakukan serangan.

Baca : Kisah K.Devan Julang Liga Super Tiga Kali Dalam Lima Musim

“Biarpun tidak menjaringkan gol (sepakan penalti) namun akhirnya kami dapat mendapatkan jaringan pada minit terakhir permainan, saya mahu berikan pujian kepada semua pemain kerana mampu tonjolkan prestasi yang baik terutama berdepan dengan pemain-pemain berpengalaman Sarawak United.

“Perlawanan terakhir di Paroi dengan PDRM, saya yakin dengan prestasi pasukan sejak kebelakangan ini, apabila kami menang di tempat sendiri dan lawan seperti ke atas Kuching City FC tempoh hari, kami berpeluang meraih kejuaraan Liga Premier,” katanya.

Bagi ketua jurulatih Sarawak United, E.Elavarasan, beliau terpaksa menerima hakikat dengan keputusan pada perlawanan itu tetapi masih optimis peluang untuk meraih kejuaraan masih terbuka.

“Bola itu bulat, apa-apa boleh terjadi dan selepas habis semua perlawanan, baru kami akan tahu apa yang akan terjadi memandangkan Negeri Sembilan akan berjumpa dengan PDRM.

“PDRM juga mahu layak ke Piala Malaysia serta berada dalam kedudukan lebih baik, sementara penyerang Negeri Sembilan (Francis Kone) juga digantung, jadi kita tidak tahu apa yang akan terjadi.

“Kami pula akan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT II), satu lawan yang cukup baik biarpun mereka ialah pasukan reserve tetapi selalu berlaku penukaran pemain dengan pasukan utama, jadi mereka pasti akan hadirkan tentangan sengit kepada kami pada perlawanan terakhir,” katanya.

Selain Negeri Sembilan dan Sarawak United, Terengganu FC II juga masih punyai peluang untuk meraih kejuaraan Liga Premier apabila menang besar 4-1 ke atas Selangor 2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Meraih 32 mata, Terengganu FC II perlu menang pada baki dua perlawanan yang tinggal selain mengharapkan Negeri Sembilan dan Sarawak United tewas pada perlawanan terakhir.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.