“Ini kali pertama kita main di padang macam ni” – Nafuzi Zain

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Terengganu FC melakar kemenangan penting 2-1 ke atas Selangor FC dalam aksi ke-13 Liga Super 2021 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad.

Ini menyaksikan skuad Nafuzi Zain melakar kemenangan berganda ke atas Selangor FC musim ini, setelah menewaskan lawan sama dengan keputusan 3-1 di pusingan pertama.

Nafuzi Zain jelas gembira dengan tiga mata yang menyaksikan mereka merampas semula kedudukan kedua sebelum saingan berehat panjang bagi memberi laluan kepada kem latihan pasukan kebangsaan, namun berpendapat mereka mungkin boleh melakukan lebih baik jika bermain di padang yang lebih berkualiti.

“20 minit pertama kita lebih baik dari Selangor di mana kita bermain dengan cara kita serta mencipta banyak peluang. Sebelum wisel separuh masa pertama, Selangor kemudiannya mengawal permainan, dan mendapat penalti di awal separuh masa kedua.

“Dari segi moral pemain mungkin sedikit terjejas tambahan pula kita beraksi di atas permukaan padang yang macam ni (becak/tidak rata). Ini kali pertama Terengganu beraksi di padang yang macam ni.

“Kualiti permainan untuk kita tampil dengan aksi yang menarik pun terjejas disebabkan faktor padang. Namun pemain gantian beraksi dengan baik. Mereka menyerap tekanan, menghasilkan jaringan dan kemudiannya mengubah perlawanan,” kata Nafuzi Zain dalam sidang media selepas perlawanan.

Kata-kata Nafuzi Zain ada benarnya, siapa yang menonton perlawanan pastinya mengakui padang Stadium MBBJ iti tidak langsung mencapai standard Liga Malaysia, permukaan seperti bendang sehinggakan ianya menjadi topik hangat dan bahan jenaka di media sosial.

Pada perlawanan itu, Selangor bimbingan Karsten Neitzel mendahului 1-0 menerusi penalti Ifedayo Olusegun pada minit ke-50 sebelum pemain gantian Engku Muhammad Nur Syakir Yacob menyamakan kedudukan pada minit ke-73.

Ketika kedua-dua pasukan dilihat menghampiri keputusan seri, Carli De Murga muncul wira Terengganu FC apabila meledak jaringan kemenangan pada minit ke-87.

Sementara itu, mengenai prospek pasukannya dapat mencabar secara serius kejuaraan Liga Super tahun ini, Nafuzi Zain sekali lagi memilih untuk merendah diri.

“Bagi saya, dengan kekuatan skuad kita ada, ramai tenaga muda dan bermain dengan hanya empat import dari permulaan musim, duduk di nombor dua adalah pencapaian sangat baik.

“Kita tak nak fikir pasal kejuaraan ke ape, kita cuma fokus berikan terbaik setiap perlawanan kerana dalam Liga Super sebenarnya semua pasukan sama sahaja yang penting perlu konsisten.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.