Struktur baru Liga Malaysia yang diperkenalkan Malaysian Football League (MFL) nampaknya menerima respon yang pelbagai.
Antara yang turut berkongsi pandangan termasuklah jurulatih berpengalaman, Ismail Zakaria, yang pernah menguruskan beberapa kelab yang sudah bungkus kerana masalah kewangan.
Menurut Ismail kepada Arena Metro, beliau bersetuju dengan idea pembaharuan oleh MFL itu, tetapi merasakan ia terburu-buru dilaksanakan.
“Sepatutnya badan pengelola memberikan notis lebih awal dan masa yang mencukupi kepada kelab sekurang-kurangnya musim 2024 pelaksanaan sebagai persediaan mereka daripada pelbagai sudut termasuk kewangan dan penstrukturan semula pasukan.
“Selain itu bersediakah pasukan yang bakal beraksi dalam saingan Liga Super bermain 34 perlawanan semusim, sedangkan beraksi 22 perlawanan sebelum ini pun nampak tempang, inikan pula nak beraksi dengan perlawanan yang banyak? Lagilah masalah.
“Saya berpandangan jika penstrukturan itu diteruskan juga pada musim depan, Liga Malaysia (Liga M) kurang meriah selain akan timbul jurang yang besar antara pasukan yang mempunyai dana yang kukuh dengan pasukan yang dananya hanya cukup-cukup makan sahaja.
“Ini kerana sudah pasti kosnya meningkat sekali ganda sekali gus berkemungkinan bakal ada kelab yang ‘bungkus’ awal,” katanya yang memaklumkan ketika ini ada beberapa pasukan begitu tenat mengenai masalah kewangan.
Ismail sebelum ini pernah menjadi jurulatih Kuantan FA yang ‘bungkus’ kerana masalah kewangan tenat pada 2018 selain Sime Darby yang menarik diri pada 2017. Malah beliau juga pernah membimbing pasukan Uitm FC yang bergelut dengan masalah kewangan sejak beberapa tahun lalu.
Sementara itu, Ismail juga berpendapat bahawa saingan Liga Simpanan sepatutnya mempunyai lebih banyak perlawanan berbanding Liga Super demi pembangunan pemain tempatan.
“Sepatutnya liga simpanan yang tidak mempunyai pemain import perlu lebih banyak perlawanan sebagai pendedahan kepada mereka sebagai persediaan beraksi di pentas tertinggi berbanding Liga Super yang pasti didominasi pemain import.
“Impaknya, pasukan kebangsaan akan rugi kerana pemain terpilih tidak dapat mempamerkan aksi terbaik kerana kurang minit perlawanan sebab sudah pasti kelab lebih cenderung untuk menyenaraikan tonggak import.”
Foto Kredit : NSTP