“Inilah Natijah Bila Letak Pengadil Takde Pengalaman” – Elavarasan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pertembungan ‘top of the table’ antara Negeri Sembilan dan Sarawak berlangsung tegang dan turut dicemari insiden pengadil diserang selepas tamat permainan.

Negeri Sembilan menang 1-0 untuk melonjak sebagai pendahulu baru Liga Premier sekaligus menghampiri gelaran juara, namun pemain Sarawak United jelas tidak berpuas hati dengan pengadil Kamil Zakaria Ismail yang membenarkan gol kemenangan minit akhir Francis Kone.

Ini kerana penyerang Negeri Sembilan itu didakwa terlebih dahulu menyiku muka pemain Sarawak United (seperti di dalam gambar) sebelum melonjak untuk menanduk masuk menewaskan penjaga gol Shaiful Wazizi pada masa kecederaan.

20210911 013051 "Inilah Natijah Bila Letak Pengadil Takde Pengalaman" - Elavarasan

Pengendali Sarawak United E.Elavarasan menyelar beberapa keputusan kurang tepat pengadil Kamil Zakaria Ismail sebagai punca menyemarakkan kemarahan pemainnya apatah lagi kekalahan akibat jaringan kontroversi itu mengakibatkan Sarawak United yang memimpin liga untuk tempoh hampir keseluruhan musim kini berpotensi terlepas trofi Liga Premier.

Malah Kamil Zakaria juga melayangkan kad merah kepada penjaga gol Sarawak United, Sharbinee Allawee Ramli di separuh masa pertama berikutan tendangan ala kungfu ke dada pemain Negeri Sembilan ketika melompat untuk menangkap bola.

Susulan daripada insiden itu juga, Negeri Sembilan dihadiahkan penalti namun tidak berjaya disempurnakan Francis Kone.

“Sebelum game pun saya ada cakap kepada penilai pengadil, jangan bagi pengadil menentukan (keputusan) game besar seperti ini. Game seperti ini kena ada orang berpengalaman yang tahu bagaimana nak kendalikan tekanan dan ketegangan. Saya rasa pengadil tidak berjaya mengawal perlawanan dengan baik.

“Dia bagi kad merah, ok kita terima, tapi kenapa penalti? Adakah ia situasi menjaringkan gol. Saya tak pertikai kad merah, tapi kalau situasi menjaringkan gol ya dia boleh bagi penalti, tapi ini bukan, dan kami bernasib baik penalti tu tak masuk.

“Walaupun dengan 10 pemain kita tetap semangat melawan, tapi gol masa kecederaan tu saya rasa dia patut lagi teliti lah, sebab last minit macam-macam boleh berlaku. Gol itu sepatutnya foul, dia siku dulu tapi pengadil bagi gol, mana ada logiknya.

“Jadi ini yang buat kita tak puas hati dan pemain pun naik marah. Awak tak boleh salahkan pemain, keputusan seperti ini ganggu emosi mereka. Reaksi mereka itu adalah berpunca dari kegagalan pengadil mengawal permainan dari awal. Keputusan pada hari ini akan menjadi penentu siapa menang liga.

“Semua tengok game seimbang, kita nampak dua-dua team nak menang, tapi pengadil banyak buat keputusan kurang tepat dan inilah merosakkan satu game yang bagus.

“Sebab itulah kena ada pengalaman dan tahu nak kawal keadaan. Apa kita boleh cakap, maksimum pun dia (pengadil) kena gantung tapi keputusan tak boleh ubah,” ujar Elavarasan.

Sarawak United yang kini di tangga kedua dengan beza satu mata masih berpeluang muncul juara dengan syarat mereka menewaskan JDT II dalam masa sama mengharapkan PDRM FC menewaskan Negeri Sembilan dalam aksi terakhir.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.