“Insiden Diputarbelitkan, Buat Saya Nampak Buruk” – Guilherme De Paula

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang Harimau Malaya kesayangan ramai, Guilherme De Paula menjelaskan mengenai insiden di Stadium Bishan ketika perlawanan menentang Kemboja, di mana seorang wartawan antarabangsa mendakwa dia bengang dengan penyokong dan melempar botol di bangku simpanan selepas dikeluarkan pada minit ke-75.

Berita Berkaitan : De Paula Bengang, Baling Botol, Penyokong Kata Dia Sepatutnya Ditidurkan KKM

Menurut De Paula, insiden yang berlaku telah diputarbelitkan dan menampakkan dirinya sebagai terlalu buruk di mata penyokong, sedangkan dia sebenarnya sangat menghargai penyokong dan juga menghormati ketua jurulatih Tan Cheng Hoe.

“Sejak hari saya menyarung jersi Malaysia, saya sangat menghargai dan menghormati ekspetasi yang penyokong letakkan atas diri saya. Saya menerima sokongan yang cukup padu, terima kasih.

“Malangnya insiden yang berlaku semalam (Isnin) telah diputarbelitkan oleh seseorang yang meletakkan saya dalam situasi yang agak buruk.

“Hakikatnya adalah saya sentiasa menghormati jurulatih dan rakan sepasukan. Jujurnya, saya rasa agak kecewa kerana telah memberikan 100 peratus. Cuma kadang-kadang, mungkin kita rasa kita boleh buat sesuatu yang jauh lebih baik dari apa yang kita tunjukkan.

“Melihat ke depan, saya akan bekerja keras dan meningkatkan prestasi, kita semua mahukan kejayaan dan akan berjuang untuk memenanginya bersama,” ujarnya.

Screenshot DE paual "Insiden Diputarbelitkan, Buat Saya Nampak Buruk" - Guilherme De Paula

Pada perlawanan pembukaan Piala AFF 2020 menentang Kemboja, De Paula diturunkan dalam kesebelasan utama untuk menerajui jentera serangan namun seperti biasa dia kelihatan sedikit agresif pada awal permainan.

Selepas setengah jam perlawanan berlangsung, dia seperti ‘hilang gas’ apabila sekadar berjalan dan berjogging sehingga menimbulkan kecaman penyokong.

Prestasi hambar De Paula itu tidak menghalang Malaysia melakar kemenangan 3-1 menerusi jaringan penalti Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan pemain gantian R.Kogileswaran.

Dia dijangka akan terus mendapat kepercayaan Tan Cheng Hoe untuk diturunkan pada perlawanan menentang Laos 9 Disember nanti.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.