Irfan : “Bukan sebab persiapan singkat, tapi pemilihan pemain kurang tepat”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kemenangan ke atas Thailand membantu skuad negara menamatkan saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di tempat ketiga Kumpulan G, seterusnya meraih tiket bermain di pusingan ketiga kelayakan Piala Asia.

Tetapi hanya tiga mata sahaja sebenarnya memisahkan skuad negara daripada melakar pencapaian lebih baik, mencatat sejarah mara ke pusingan terakhir kelayakan Piala Dunia, dan ia adalah tiga mata yang kita lepaskan kepada Vietnam.

Jurulatih berpengalaman luas, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan sekiranya pemilihan pemain yang betul dibuat pada perlawanan getir itu, skripnya sudah tentu berbeza.

“Sebenarnya perlawanan dengan Vietnam paling merugikan. Sekiranya Tan Cheng Hoe dan barisan pembantunya dapat menyusun pemain, pendekatan untuk menghadapi Vietnam dengan baik (sudah pasti skuad negara tidak tewas) kerana dua gol yang mereka hasilkan adalah menerusi bola mati.

“Kita seimbang dengan Vietnam dan boleh mengutip mata ketika bertemu mereka,” ujar Irfan dalam Nadi Arena.

Tambahnya, “Selepas mengalami kekalahan dalam dua perlawanan persahabatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), jika dengan pemilihan yang baik terhadap kesebelasan terbaik, penelitian yang betul mungkin menghasilkan keputusan sebaliknya.

“Permainan Vietnam tidaklah sehebat mana, Malaysia mampu menandingi mereka,” ujar Irfan Bakti yang kini membimbing pasukan Kuching City.

Irfan Bakti juga menolak tanggapan bahawa persiapan singkat sebagai punca skuad negara tidak dapat beraksi pada tahap sebenar setelah bertandang ke Dubai dengan harapan dan keyakinan yang cukup tinggi.

“Saya rasa persiapan tidak singkat berbanding kalau di Eropah. Mereka mempunyai tempoh dua minggu sahaja (untuk melakukan persiapan). Kita lebih daripada itu sebenarnya.”

“Mengapa tidak mempersiapkan kekuatan mental? Saya rasa sedikit kesilapan apabila Malaysia mengatur perlawanan persahabatan dengan pasukan yang kuat iaitu menentang Kuwait dan Bahrain.

“Mengapa tidak aturkan perlawanan yang Malaysia boleh menang demi memotivasi pemain untuk perlawanan sebenar, mengambil kesempatan menerapkan taktikal terbaik.”

Mengenai prestasi pemain naturalisasi yang menerima kecaman hebat, Irfan Bakti berharap ia dijadikan pengajaran oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Kalau pemain naturalisasi itu berkelayakan tidak mengapa. Tapi kalau setakat jadi penumpang (tidak perlulah).

“Ketika bertemu Thailand pemain tempatan beraksi dengan baik, ini satu ujian dan pengajaran. Pemilihan pemain naturalisasi perlu dibuat sebaik-baiknya. Jangan main tangkap muat sahaja sebab ini untuk mewakili negara. Mereka bermain dalam liga negara kita.

“Kalau Dion Cools boleh bermain dengan baik, baru sampai tiga hari sahaja macam mana pula dengan Liridon (Krasniqi).

“Dia tidak aktif di Australia (dalam Liga A) sebab itu dia tidak dapat menyesuaikan diri dengan pasukan sementara (Guilherme) De Paula pula tidaklah seberapa sangat, jadi perlukan penelitian yang baik.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.