Ismail Sabri : Liga Malaysia boleh diteruskan, tapi tengok tarikh dulu

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Masih ada harapan untuk saingan Liga Malaysia 2020 kembali disambung, walaupun ia mungkin bukan dalam tempoh terdekat.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini memaklumkan mereka telah menghantar permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara mengenai hasrat menyambung semula aksi Liga Malaysia yang ditangguhkan sejak 16 Mac lalu dan SOP yang perlu dipatuhi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata meskipun kerajaan sebelum ini telah melarang semua perlawanan bolasepak daripada diteruskan selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia bergantung kepada bila pertandingan itu dilangsungkan.

“Perhimpunan dan sukan berkumpulan mungkin tidak dibenarkan tetapi kita tengok tarikhnya. Saya difahamkan pertandingan akan bermula pada Jun tetapi saya kira ia terlalu rapat kalaupun PKP ditamatkan dalam tempoh sebulan atau dua bulan.

“Mungkin terlalu awal untuk kita benarkan. Katakan PKP tamat pada Jun dan pertandingan pada Oktober atau November dengan SOP seperti yang disebutkan iaitu tanpa penyokong dan sebagainya, mungkin kita boleh lihat dan pertimbangkan.

“Tetapi nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih diperlukan. Selepas kita dapat cadangan FAM atau Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kita akan teliti perkara ini,” kata Ismail Sabri pada sidang media harian Covid-19, di Putrajaya pada Selasa.

Foto : The Star Online

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.