Isteri lukis logo, anak tolong warna, Baddrol balas kritikan dengan hadiahkan ‘cinta’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Baddrol Bakhtiar dikritik hebat kerana prestasi suram dalam beberapa perlawanan lalu, tetapi kapten Kedah Darul Aman FC itu tidak sedikitpun ‘koyak’ sebaliknya bangkit menghadiahkan kemenangan ke atas PJ City FC yang disulami rasa cinta kepada penyokong pasukan itu.

Pemain tengah itu menjaringkan gol penyamaan yang menjadi aspirasi kebangkitan Lang Merah di babak kedua setelah menanduk masuk hantaran Rabih Ataya dan meraikannya dengan membuka jersi dan menunjukkan logo cinta di bajunya.

“Syukur dan terima kasih kepada keluarga terutama isteri yang sentiasa support apabila saya dalam keadaan begini, tidak lupa rakan sepasukan dan rakan luar pasukan yang sentiasa memberikan kata-kata positif dan membantu menaikkan semangat. Kemenangan ini adalah untuk pasukan dan bukannya individu.

“Bagi saya, kritikan itu saya sudah lali, saya sentiasa anggap ia sebagai satu cabaran dan ambil positif untuk meningkatkan diri serta memajukan pasukan, saya doakan pengkritik-pengkritik akan diberikan kebahagian dan dimurahkan rezeki. Terima kasih.

“Apapun saya terharu dengan ucapan-ucapan positif kepada saya dan pasukan, logo cinta ini adalah untuk mereka yang terus positif, memang ini idea yang mahu saya bawakan pada musim baru ini, isteri saya tolong lukis, dan anak saya tolong warna. Hanya segelintir yang faham mesej yang cuba saya sampaikan dan saya harapkan mereka terus menyokong pasukan ini tanpa putus,” kata Baddrol Baktiar selepas perlawanan.

Dalam aksi di Stadium Darul Aman itu, KDA ketinggalan di separuh masa pertama menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh R.Kogileswaran tetapi tampil berbeza di separuh masa kedua dengan Aidil Shahrin Sahak membuat pertukaran awal mengeluarkan Rozaimi Abdul Rahman dan memasukkan Fayyadh Zulkifli Amin.

Hanya dua minit permainan bersambung Baddrol Bakhtiar menyamakan kedudukan dan selang lima minit kemudian dia sekali lagi cemerlang, apabila hantaran sepakan percumanya ditanduk masuk Kpah Sherman untuk memberikan KDA pendahuluan 2-1.

Fayyadh Zulkifli melengkapkan kemenangan menerusi tandukan sekaligus mengesahkan tiga mata dan melonjak ke tangga keempat dengan tujuh mata dari empat perlawanan.

Foto ehsan : Kedah Darul Aman FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.