Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa beliau menjadi punca Johor Darul Takzim memanggil pulang penyerang Syafiq Ahmad yang dipinjamkan ke Kedah sebelum ini.
Syafiq Ahmad menyertai Kedah secara pinjaman dengan kontrak semusim, tetapi beberapa hari lalu JDT membuat keputusan memendekkan tempoh kontrak itu dan pemain itu akan kembali ke bumi selatan selepas berakhir minggu antarabangsa.
“Kenapa hendak salahkan saya Syafiq Ahmad dipanggil semula ke JDT. Dalam perjanjian pinjaman, pasukan asal memang boleh ambil semula pemain pinjaman pada bila-bila masa dan tiada siapa yang boleh halang,” kata Muhammad Sanusi.
Sanusi baru-baru ini mendakwa bolasepak Malaysia takkan ke mana jika setiap pasukan di Liga Malaysia tidak mendapat layanan sama rata sebaliknya terdapat satu pasukan yang diagungkan dan disembah umpama tokong, selain membidas bahawa ia tidak mencerminkan permainan fair-play sepertimana dilaungkan.
Menteri Besar Kedah itu juga pelik kenapa JDT ataupun penyokong mereka mahu terasa dengan apa yang dikatakannya sedangkan beliau tidak ada menyebut nama mana-mana pasukan.
Sementara itu, Sanusi berkata kehilangan Syafiq Ahmad bukanlah satu perkara besar dan kerana yakin Kedah mampu mendapatkan pengganti yang lebih berkualiti.
“Ada yang suruh beli Syafiq terus tetapi tidak perlu kerana banyak lagi pemain yang kita ada. Hujung bulan nanti akan ada musim perpindahan, jadi akan ada proses ganti pemain dan kita akan cari yang bagus-bagus.
“Sekarang kita tengah buat Liga Menteri Besar di seluruh Kedah dan beratus-ratus pemain akan dilahirkan menerusi liga ini, jadi saya sedikit pun tidak risau tentang pemain. Kalau tengok, ramai anak Kedah yang dicungkil, dilatih di Kedah lepas itu dieksport ke negeri lain.
“Saya tidak takut dengan ketiadaan dia (Syafiq) kerana kita ini macam ada kilang yang melahirkan pemain-pemain bola sepak yang berkualiti. Pasukan Selatan sendiri ambil dua, tiga orang pemain Kedah jadi apa nak hairan,” tambahnya lagi.