Ivan Carlos tuntut Pahang jelaskan hutang

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pemain import Pahang, Ivan Carlos menuntut bekas majikannya itu untuk menyelesaikan hutang sepertimana telah dipersetujui.

“Pahang jangan lupa untuk membayar kontrak pemain. Tahun ini sudah berakhir tetapi anda (PBNP) masih perlu membayar hutang anda.

“Saya yakin peminat pun tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam pasukan ini,” kata pemain berusia 30 tahun itu seperti dilaporkan BH Sukan.

Pendedahan terbaru oleh Ivan Carlos ini seolah mengiakan beberapa dakwaan oleh bekas pemain ke atas pasukan Pahang, terutama mengenai isu tunggakan gaji, walaupun perkara itu pernah dinafikan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang sebelum ini.

Pada September lalu, pemain sayap naturalisasi Mohamadou Sumareh membuat keputusan meninggalkan skuad tok gajah dengan membatalkan kontrak secara sebelah pihak, dipercayai kerana masalah tunggakan gaji.

Baca : Cadangan tarik balik kerakyatan Sumareh adalah melampau

Baca : Dickson dedahkan dia juga akan angkat kaki, tetapi bukan kerana Sumareh

Sebagai rekod, Ivan Carlos yang berasal dari Brazil meninggalkan kelab Cyprus, AEL Lymassol untuk menyertai Pahang bagi saingan Liga Malaysia musim 2020 tetapi dilepaskan sebaik saingan Piala Malaysia dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

Dia yang turut pernah bermain bersama kelab Indonesia gagal untuk memenangi hati peminat berikutan aksi tidak meyakinkan, hanya menjaringkan enam gol dalam musim pendek Liga Super 2020.

Selain Ivan Carlos, Pahang turut tidak menyambung khidmat tiga lagi import iaitu Dickson Nwakaeme, Khalil Khamis dan Adam Reed.

Setakat ini mereka telah sah mendapatkan dua pemain import baru iaitu Sergio Aguero dan Lee Tuck sepertimana disahkan oleh pengurus pasukan Datuk Suffian Awang, baru-baru ini.

Dalam pada itu, seorang lagi bekas pemain Pahang, Fauzi Roslan, menafikan dia akan kembali menabur bakti bersama pasukan negeri kelahirannya itu.

“Dakwaan bahawa saya antara beberapa bekas pemain Pahang akan dipanggil semula untuk menguatkan skuad Tok Gajah musim depan adalah tidak benar, itu semua adalah rekaan pihak tertentu sahaja.

“Saya kini masih menunggu tawaran pasukan baharu untuk meneruskan kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional terutama selepas kontrak bersama Sarawak United tidak disambung,” kata pemain berusia 32 tahun itu yang pernah menyarung jersi Pahang dari tahun 2012 hingga 2016. 
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.