‘Iwe Seli’ mahu lonjakkan semula karier bersama Uitm FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas penyerang Kelantan, Khairul Izuan Rosli tekad melonjakkan semula kariernya yang merudum sejak beberapa musim lalu bersama pasukan barunya, Uitm FC.

Pemain yang lebih sinonim dipanggil Iwe Seli dalam kalangan penyokong di Kelantan itu umpama hilang dari radar bolasepak Liga Malaysia sejak berhijrah ke pasukan lain selepas enam musim menabur bakti bersama Kelantan pada 2011 sehingga 2017 yang menyaksikan dia berjaya mencapai beberapa kejayaan termasuklah memenangi kejuaraan treble pada 2012.

Sesudah mengambil keputusan berhijrah ke Negeri Sembilan (2017-2018), Terengganu FC (2019) dan Kelantan United (2020), perjalanan karier pemain berusia 30 tahun itu tidak semudah yang disangka apabila bergelut untuk mencari rentak permainan dengan lebih baik bersama pasukan.

Justeru, peluang yang diberikan oleh UiTM FC pada musim ini enggan disia-siakan untuk Izuan berusaha mendapat kepercayaan pengendali, Frank Bernhardt bagi memastikan tempat dalam skuad utama bagi musim 2021.

“Saya bersyukur apabila musim ini dapat beraksi untuk UiTM FC dan saya boleh katakan pasukan ini antara yang beraksi cemerlang juga untuk 2020, jadi semestinya ia akan menjadi musim yang mencabar untuk saya apatah lagi bersaing dalam Liga Super.

“Tahun lepas ketika bersama Kelantan United, saya selalu juga diturunkan dalam skuad utama, cuma disebabkan pandemik, peluang untuk menyerlah itu agar sukar, jadi semestinya saya mengharapkan tahun yang lebih baik bersama UiTM FC pada musim ini.

“Sebenarnya selepas keluar daripada pasukan Kelantan, saya mengaku agar susah nak mencari rentak permainan, tetapi Alhamdulillah masih lagi ada pasukan yang inginkan khidmat saya dan saya akan bekerja lebih keras untuk kembali mencipta nama,” jelasnya.

Berhubung perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam buah negeri bermula 13 Januari sehingga 26 Januari, Izuan hanya mengharapkan situasi ini akan segera pulih agar pasukan dapat melakukan persediaan dengan lebih baik menjelang sepak mula pada Februari depan.

Walaubagaimanapun, apa jua keputusan yang akan diputuskan membabitkan sesi latihan pasukan Liga Malaysia diharapkan ia adalah demi kebaikan untuk semua pihak.

“Sekarang memang kita semua tengah dalam perasaan teruja untuk turun berlatih dan bersedia untuk Liga Malaysia, tetapi mahu atau tidak, keselamatan paling diutamakan ketika ini.

“Memang kita harap situasi ini tidak akan berpanjangan dan kita semua dapat kembali melakukan persediaan seperti sediakala dan mudah-mudahan akan ada jalan penyelesaian terbaik untuk apa yang berlaku ketika ini,” tambahnya.

Izuan antara pemain baharu yang bakal memperkuatkan pasukan UiTM FC musim ini termasuk tujuh lagi pemain tempatan iaitu Khairul Asyraf Sahizah dan Mohd Alif Najmi dari Perak II, Mohd Khairul Rizam Che Soh (Kelantan), Dirga Surdi dan Muhammad Farid Nezal (PDRM FC), Muhammad Hardee Shamsuri (Pahang) dan Mohd Fauzi Latiff (Negeri Sembilan).

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.