Iwe Seli Tak Sangka Boleh Buat ‘Comeback’ Dalam Saingan Liga Premier!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang baharu PDRM FC, Khairul Izuan Rosli tidak sangka peluangnya untuk beraksi masih ada pada baki saingan Liga Premier selepas sukar mendapat tawaran sejak awal musim ini.

Pemain berusia 31 tahun itu bersyukur apabila masih diberi kepercayaan untuk mempertaruhkan aksi selepas diikat oleh PDRM meskipun telah menanti agak lama apabila musim ini hanya sempat beraksi di pentas Liga M3.

Sudah pasti, pemain yang lebih popular dengan panggilan Iwe Seli itu enggan mensia-siakan peluang yang diberi dan ini adalah masa yang tepat untuk membuktikan kudratnya masih berbisa untuk membantu PDRM pada baki saingan musim ini.

“Saya rasa amat bersyukur kerana masih lagi diberi kepercayaan untuk beraksi sebab sebelum ini belum mendapat apa-apa tawaran.

“Saya juga masih belum puas dan walaupun pada awal musim tidak beraksi, saya tidak berputus asa untuk cuba mendapat tempat dan akhirnya dapat juga bersama PDRM.

“Saya telah dipanggil oleh pihak pengurusan untuk ujian percubaan selama tujuh hari dan Alhamdulillah rezeki masih ada untuk musim ini”, katanya.

Sebelum ini, bekas penyerang Kelantan itu fokus kepada perniagaan kedai makan bersama isterinya selepas berakhir tugas bersama UiTM FC.

Dia telah melakukan 12 penampilan dalam kesebelasan utama menyaksikan pasukan itu berada di tangga tercorot saingan Liga Super 2021.

Justeru, musim ini amat penting untuk Izuan terus mempamerkan aksi cemerlang dalam usaha membantu PDRM layak ke pentas Liga Super, musim depan.

“Misi saya ke PDRM adalah untuk membawa pasukan ini ke Liga Super, jadi saya perlu bekerja lebih keras sebab ini bukan tugas mudah.

“InsyAllah saya akan memberikan yang terbaik untuk kita ke Liga Super dan di sini juga saya teruja sebab turut dibantu oleh sahabat lama saya, Azmi Muslim”, tambahnya.

PDRM FC ketika ini menghuni tangga keenam Liga Premier 2022 dengan 11 mata.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.