Jack Hindle sepatutnya dilayang kad merah kerana mengasari pengadil

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Insiden di mana pemain import pasukan Kelantan FC, Jack Hindle menolak pengadil Amirul Aizat Mohd Lodin sehingga jatuh tergolek ketika perlawanan menentang Perak II dalam aksi pembukaan Liga Premier 2021 Sabtu lalu mungkin kelihatan sebagai insiden kelakar di mata penyokong.

Pengadil itu meluru masuk ke dalam kotak penalti ketika Kelantan FC mengatur serangan pada minit ke-39 dan kedudukannya itu menghalang Jack Hindle dari menerima bola mahupun melakukan percubaan menyebabkan pemain itu bertindak sedemikian sebagai tanda melepaskan geram.

Pengadil kemudiannya kelihatan meminta maaf kepada pemain itu dan perlawanan diteruskan seperti tidak ada apa-apa berlaku.

Tetapi bagi bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Subkhiddin Mohd Salleh yang juga tenaga pengajar pengadil FIFA, ia adalah perbuatan yang sewajarnya dikenakan tindakan.

Subkhiddin mengakui pengadil itu berada di kedudukan yang salah, tetapi menurutnya Jack Hindle sepatutnya dilayangkan kad merah memandangkan ia dianggap sebagai kelakuan ganas dalam undang-undang permainan.

“Pengadil salah posisi, itu tak salah dari segi undang-undang. Tapi pemain, bila anda tidak dapat menahan emosi dan kelakuan, undang-undang akan ambil tindakan. Ini di bawah klausa kelakuan ganas.

“Pengadil ini salah mungkin dari segi kekurangan pengalaman, mungkin dia pengadil dalam proses untuk diketengahkan. Satu yang baik adalah ia jadi satu pengajaran.

“Saya tak pasti sama ada MFL (Liga Bolasepak Malaysia) akan guna video itu sebagai akses untuk mengambil hukuman. Ada sesetengah pertandingan atau negara yang menggunakannya.

“Maknanya kalau pengadil terlepas insiden di atas padang, dia akan guna pula bukti video sebagai akses untuk mereka menghukum kalau ada kesalahan yang boleh mencemarkan imej bola sepak.

“Tapi untuk pengadil itu, mungkin ini kali pertama berlaku pada dia dan dia pun tak pasti nak ambil keputusan apa. Tapi keputusan yang sepatutnya adalah kad merah kepada pemain itu kerana ia kesalahan berkelakuan ganas.

“Jadi, kalau pengadil itu tidak pasti untuk mengambil keputusan, dia ada ‘match official team’, jadi kumpulan ini dia ada lagi pembantu pengadil 1, pembantu pengadil 2 dan ada pegawai keempat.

“Sebelum memulakan kembali perlawanan mereka patut bincang, ini kesalahan ganas membabitkan kelakuan pemain. Jadi, kalau hari ini kita lepas, esok kalau orang lain buat dan kita bagi kad merah, orang tidak akan percaya,” katanya kepada BH Sukan.

Baca : Pengadil salah posisi, Hindle patut kena kad merah

Tambah Subkhiddin lagi, “Pengajaran bukan untuk pemain (Hindle) atau pengadil (Amirul) itu sahaja. Tapi untuk semua orang, ini satu pengajaran yang hebat yang mana pemain tidak boleh buat macam itu dan sebagai pengadil perlu berhati-hati di kawasan penalti.”

Dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV itu, Kelantan FC bimbingan Marco Ragini tewas tipis 0-1 menerusi jaringan Mohd Hakimi Mat Isa.

Jack Hindle juga gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan pada awal separuh masa kedua.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.