Jaja Kisah Sedih Dengan Pakai Baju Harimau, Tayang Pingat Adalah Satu Penghinaan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) sekali lagi tampil menafikan dakwaan bekas atlet para negara, Koh Lee Peng diabaikan kerajaan tanpa sebarang bantuan seperti ditimbulkan pelbagai platform media sosial sejak kebelakangan ini.

Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, berkata pihaknya termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan semua agensi kerajaan berkaitan tidak pernah mengambil pendekatan membiarkan mana-mana bekas atlet kebangsaan terlantar tanpa mendapat bantuan sewajarnya.

“Walaupun pernah diberi penjelasan tidak lama dahulu, isu membabitkan Lee Peng terus ditimbulkan terutama di pelbagai platform media sosial. Terbaru, berhubung hantaran daripada pendakwah terkenal, Ebit Lew yang berjumpa dengan Lee Peng baru-baru ini.

“Dalam isu Lee Peng ini, YAKEB sudah menawarkan pelbagai bantuan dan peluang kepada beliau. Bukan sahaja bantuan wang ringgit dan kemudahan seperti kerusi roda bermotor, YAKEB juga menawarkan supaya Lee Peng mengikuti beberapa kursus kemahiran yang mampu membantunya berdikari.

“MSN juga pernah menawarkan supaya Lee Peng mengikuti kursus kejurulatihan supaya dia boleh dilantik menjadi jurulatih di bawah kendalian MSN, selain menawarkan sebuah gerai di Stesen LRT dan di Pulau Pinang. Namun, semua tawaran itu ditolak Lee Peng,” katanya dalam satu sidang media berhubung isu berkenaan, pada Jumaat lalu.

Noorul Ariffin berkata berdasarkan maklumat yang diperoleh YAKEB, Lee Peng sebenarnya mempunyai beberapa pekerja yang menghasilkan barangan untuk jualan seperti sarung tisu dan tabung.

“Barangan inilah yang dijual kepada orang awam. Lee Peng tidak seharusnya menjaja cerita yang tidak benar ini semata-mata untuk meraih simpati dan melariskan jualannya.

“Beliau tidak harus terus menyarung jersi negara untuk menagih simpati kerana ia adalah satu bentuk penghinaan kepada jersi yang dipakai oleh wira dan wirawati negara,” kata Noorul.

Noorul juga meminta semua pihak untuk tidak cuba mengeksploitasi isu berkenaan demi agenda peribadi masing-masing.

“Semua pihak, baik YAKEB, KBS, MSN dan agensi lain, semuanya sentiasa sentiasa menghulurkan bantuan. Jangan jatuhkan martabat dan nama baik atlet negara demi kepentingan diri ataupun politik.

“Ianya akan mencetuskan persepsi negatif yang boleh mengakibatkan Keluarga Malaysia keliru dan tidak mahu memberikan padu kepada setiap atlet negara,” katanya.

Turut terkesan dengan apa yang dilakukan Lee Peng, adalah bekas atlet rejam lembing kebangsaan, Norsham Yon yang menganggap ia seperti mencari publisiti murahan.

Tambahnya, perbuatan itu jelas dianggap biadab dan mencemarkan nama baik atlet para lain yang berbisnes menggunakan saluran yang betul.

“Pada saya, isu viral tentang Lee Peng ini adalah menyedihkan, tetapi apakan daya. Itu imej yang tidak elok dipamerkan kepada masyarakat. Jadi dengan pakaian baju harimau, dengan pingat, itu tidak sepatutnya berlaku.

“Kita bekas atlet negara, kita memperjuangkan negara, jika kita menjatuhkan imej negara, tidak baguslah. Kita kena jaga, tidak boleh ambil simpati seperti itu, kita kena usaha dengan cara berbisnes.

“Ambil simpati seperti itu bukan untuk diri dia sahaja, bahkan semua atlet terasa, banyak cara lagi yang kita boleh buat,” ujarnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.