Jamal anggap keputusan batal Piala Malaysia tepat, minta jangan salahkan kerajaan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Keputusan Malaysian Football League (MFL) membatalkan saingan Piala Malaysia 2020 adalah tepat dan kerajaan tidak wajar dipersalahkan sebagai punca keputusan itu terpaksa diambil, demikian tegas bekas pemain kebangsaan, Dato’ Jamal Nasir Ismail.

MFL pada Khamis lalu mengumumkan pertandingan yang sudah berlangsung satu pusingan dibatalkan selepas rayuan agar perlawanan yang berbaki dapat diteruskan di zon hijau ditolak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagi Jamal, larangan MKN bersebab kerana khuatir dengan bilangan kes Covid-19 yang meningkat secara drastik malah pada waktu genting ini keselamatan perlu menjadi keutamaan berbanding bolasepak.

Tambahnya, bermain tanpa penyokong juga pastinya tidak membantu kelab menjana sebarang pendapatan justeru penyokong tidak sepatutnya melatah atau menuding jari menyalahkan kerajaan.

“Kerajaan tidak boleh fikir mengenai bola sepak sahaja kerana banyak lagi industri yang turut tidak dapat beroperasi dalam waktu sekarang ini. Jadi, keputusan kerajaan itu menyeluruh dan bukannya untuk menganiayai bola sepak atau sebagainya.

“Pihak kerajaan cuba untuk mengecilkan jumlah kes dan meningkatkan kembali ekonomi negara. Kalau main bola sepak waktu sekarang tanpa kehadiran penonton, tak jadi apa juga sebab tak ada sumber pendapatan.

“Apa yang disarankan pihak kerajaan, kita patut akur. MFL juga mungkin sudah boleh merancang penganjuran liga musim depan dalam mendepani ancaman pandemik Covid-19,” ujarnya dipetik dari Sinar Harian.

Sekadar untuk makluman Pak Jamal, penyokong juga mempunyai sebab untuk menyatakan rasa marah. Pada ketika semua aktiviti keagamaan ditangguhkan, masjid ditutup, perlawanan bolasepak ditangguh, program-program hiburan yang dekat dengan maksiat, melibatkan ramai orang, diteruskan malah dikatakan tidak melanggar SOP/garis panduan.

Apa yang diperjuangkan oleh mereka-mereka yang kecewa ini bukanlah semata-mata mengenai pertandingan atau perlawanan bolasepak yang dibatalkan, tetapi lebih daripada itu mengenai layanan ‘double standard’ terhadap sektor sukan.

Dengan pembatalan saingan Piala Malaysia umpamanya, bukan sahaja badan pentadbir berpotensi kehilangan pendapatan menerusi penajaan, tetapi ia akan memberi impak menyeluruh kepada pemain, pegawai pasukan dan staff belakang tabir kerana pada hakikatnya mereka adalah pekerja yang bergaji dan tiada gaji seandainya tiada pertandingan.

Exco FAM, Christopher Raj sebelum ini memberitahu sektor sukan perlu kembali aktif dan tidak boleh berada dalam keadaan ini kerana ia pada akhirnya akan menjadi ancaman mental kepada semua pihak yang terbabit.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.