Jamal Nasir anggap Terengganu FC boleh jadi juara

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Kalau boleh kalahkan JDT maksudnya mereka (Terengganu) ada peluang untuk jadi juara,” kata bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail.

Menurut Jamal Nasir, kemenangan 1-0 dilakar Terengganu di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu lalu menyerlahkan keinginan mereka untuk memberi tentangan sengit kepada pemburuan gelaran Liga Super musim ini, justeru JDT boleh menjangkakan kesukaran untuk mempertahankan kejuaraan buat musim kelapan berturut-turut.

Malah dia juga menekankan kekalahan membuktikan bahawa skuad bimbingan Benjamin Mora bukanlah sebuah pasukan sempurna.

“Memang terbukti bahawa JDT tidak kebal, di tempat sendiri pun boleh dikalahkan oleh pasukan macam TFC dan mereka pasukan yang mampu bersaing dengan JDT.

“Saya fikir JDT memang berada di atas berbanding pasukan lain, tapi tak mustahil dapat dikalahkan di tempat mereka sendiri dan semua pasukan tiada yang kebal.

“Mungkin selepas ini Kedah, Perak atau pasukan lain dalam Liga Super sentiasa mencari peluang untuk mengalahkan JDT sebab (jika menang) mereka akan rasa bangga kerana JDT adalah satu pasukan yang sempurna.

“Tapi dalam kesempurnaan itu ada juga masa yang mana pemain JDT hilang fokus atau mungkin terlalu selesa dengan kemenangan sebelum ini. Maka peluang itu diambil oleh pasukan lawan untuk meraih kemenangan.

“Hanya perlu fokus, semangat kena digandakan kerana kita sedia maklum JDT pasukan yang sangat kuat. Macam TFC tempoh hari dia tidak leka walaupun JDT bertali arus menyerang hingga saat akhir,” kata Jamal Nasir.

Kemenangan keenam buat Terengganu menerusi jaringan tunggal Hakimi Abdullah menyaksikan skuad Nafuzi Zain itu mengumpul 21 mata, mengurangkan kelebihan JDT di puncak liga kepada hanya dua mata, dengan baki 12 perlawanan untuk diharungi.

Sebagai rekod, JDT menjuarai Liga Super buat pertama kali pada 2014 dan sejak itu tidak lagi berpaling, belum ada pasukan dapat merampas kejuaraan liga dari tangan mereka sejak tujuh musim lalu.

Terengganu pula, belum pernah merasai nikmat bergelar juara dengan pencapaian terbaik adalah muncul naib juara di belakang Kelantan pada 2011 dan jika terus konsisten, Jamal Nasir berpendapat tidak mustahil mereka boleh menoktahkan penantian panjang itu.

Foto kredit : Terengganu FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.