Jamal Nasir bengang penyokong sendiri tak yakin dengan Harimau Malaya!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Komen negatif dilontarkan segelintir penyokong mengenai peluang skuad Harimau Malaya menewaskan Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 tengah malam ini, menimbulkan rasa amarah bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail.

Menurutnya, penyokong sepatutnya memberi motivasi dan sokongan tidak berbelah bahagi supaya skuad negara dapat bangkit daripada kekalahan kepada Emiriah Arab Bersatu dan menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya, bukannya bersikap pesimistik.

“Belum bermain lagi dah banyak komen negatif daripada netizen yang mempertikaikan kemampuan pasukan kebangsaan. Umpama sebelum berjuang, kita dah tak ada semangat dan sudah mengaku kalah.

“Kita kena percaya bahawa pasukan kebangsaan adalah lebih bagus daripada Vietnam. Ini tidak, penyokong Malaysia sendiri kata Vietnam lebih kuat.

“Tiada mana-mana pasukan yang kuat selagi kita tidak bertanding di tengah padang. Pemain Vietnam juga sama seperti pemain Malaysia, ada dua kaki dua tangan. Jadi apa nak takut?

“Pasukan kebangsaan memerlukan sokongan kita. Kalau bukan kita, siapa lagi nak sokong pasukan kebangsaan? Sokongan daripada penyokong yang akan membuatkan pemain lebih bersemangat,” katanya sepertimana dilaporkan Sukan Sinar.

Tambahnya lagi, barisan pemain Harimau Malaya perlu berhati-hati paling penting dalam tempoh 10 minit sebelum rehat, 10 minit minit selepas aksi babak kedua bersambung dan 10 minit sebelum tamat permainan kerana dalam tempoh itu fizikal dan mental mereka dalam keletihan.

“Itu yang berlaku ketika menentang UAE baru-baru ini apabila dalam 10 minit terakhir bolos tiga gol. Pemain-pemain letih pun sebab mereka banyak kejar bola berbanding mengawal bola. Dalam bola sepak selagi kita pegang bola, kita tidak akan letih,” ujar Jamal Nasir.

Malaysia ketika ini di kedudukan keempat Kumpulan G dengan sembilan mata, tiga mata di belakang pasukan tangga kedua UAE dan lima mata di belakang Vietnam.

Berdasarkan prestasi semasa dan juga rekod pertemuan dalam beberapa tahun terdahulu, memang pertembungan menentang Vietnam dilihat sebagai misi sukar justeru skuad Tan Cheng Hoe perlu tampil dengan aksi luar biasa kerana mereka tiada pilihan selain melakar kemenangan dalam baki dua aksi, termasuk menentang Thailand.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.