James Rodriguez dilabel sebagai beban, ‘Mesut Ozil’ Everton

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hanya pada bulan September yang lalu, Everton dikatakan telah membuat antara rekrutmen terbaik dalam Liga Perdana Inggeris dengan membawa masuk James Rodriguez, lebih menarik secara percuma.

Malah pemain Colombia itu tidak mengecewakan, tampil cemerlang membantu Everton untuk melakar permulaan terbaik mereka dengan memenangi tujuh perlawanan pertama dalam semua pertandingan, seterusnya menerajui carta Liga Perdana Inggeris.

Tetapi malang buat Everton, prestasi mereka kemudiannya merudum teruk, hanya menang sekali dalam tujuh perlawanan terakhir, terbaru dikecewakan dengan keputusan seri 1-1 menentang Burnley, sekaligus menyaksikan skuad Carlo Ancelotti kini tergelincir ke tangga kesembilan liga.

James Rodriguez yang dijulang sebagai pemain yang membawa perubahan dan impak besar, kini menjadi sasaran kritikan, dan dia dilabel sebagai ‘Mesut Ozil’ Everton oleh bekas pemain EPL yang kini merupakan pengulas dan pemerhati bolasepak, David Connelly.

“Memang Rodriguez seorang pemain berkua­liti dan bermula dengan cemerlang, namun dia tidak dapat mengulanginya sekarang. Dia adalah liabiliti kepada pasukan apabila kehilangan bola dan berdepan serangan lawan.

“Ramai yang menulis ketika permulaan musim dia adalah pemain yang memberikan impak tanpa banyak berlari atau bergerak, masalah sekarang ini dia banyak berdiri sahaja dan tidak bergerak. Jika awak bermain di posisi pertahanan atau pertahanan sayap, awak mesti harap dia akan buat sesuatu yang lebih, bukan tengok sahaja rakan sepasukan bekerja keras kejar bola dan membiarkan pemain lain bertungkus lumus ketika bertahan.

“Dia cuba untuk rileks di atas pada ketika dia sepatutnya dapatkan bola. Memang betul dia adalah sejenis pemain yang mana hantarannya luar biasa dan tidak ramai boleh buat, tetapi bagi saya, dia ibarat beban kepada pasukan apabila diserang, tanpa bola di kaki, dia tidak ada sebarang sumbangan untuk pasukan.

“Rodriguez perlu sedar ini bukan Real Madrid, pasukan yang menguasai lebih 60 peratus perlawanan, jadi dia tidak ada banyak perlu dilakukan ketika bertahan. Ini Everton, dia perlu be­kerja lebih kuat untuk pasukan ini. 

“Dia tidak ubah seperti Mesut Ozil di Arsenal, Ozil tidak banyak bergerak dan akan kekal di posisi dia tak kisah lah apa berlaku kat bawah, dia tidak akan sesekali berlari ke belakang, bila dapat bola, dia akan buat magik, samalah ceritanya dengan Rodriguez.

“Hakikatnya, Everton mungkin mempunyai peluang yang menang dalam perlawanan yang mereka cicirkan mata, jika Rodriguez tidak bermain,” kata Connelly yang bermain 20 tahun di EPL antaranya bersama Wimbledon, West Ham, Leicester City, Wigan dan Southampton.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.