“Jangan FAM Gadai Maruah Negara Dengan Terus Beri Guilherme De Paula Peluang”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak perlu try hard untuk membuktikan bahawa menaturalisasikan Guilherme De Paula adalah langkah tepat dengan terus memberi peluang kepadanya menyarung jersi Harimau Malaya.

Bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh berpandangan De Paula masih kekal dalam perancangan Tan Cheng Hoe dengan harapan dia akan menjaringkan gol apabila diturunkan lantas menutup mulut pengkritik.

Tetapi menurut Serbegeth atau mesra disapa Shebby, sudah terbukti De Paula adalah satu kegagalan dan FAM perlu mengakui menaturalisasikan pemain dari Brazil itu adalah satu kesilapan.

“Jangan FAM menggadaikan (bola sepak) negara semata-mata untuk membuktikan yang polisi naturalisasi, terutamanya De Paula adalah keputusan yang baik.

“Kita kena move on tanpa perlu memikirkan De Paula menjaringkan gol atau hatrik. Ini bukan tentang De Paula atau polisi naturalisasi tapi maruah negara.

“Negara kita sendiri masih mempunyai pemain dan berkaliber. Semasa saya jadi konsultan JDT dari Februari 2014 hingga Ogos 2015, saya pernah tolak De Paula menyertai pasukan kerana dia tidak mempunyai kualiti yang diperlukan.

“Bukan saya tak suka tapi tahap dia tidak capai kualiti diperlukan, namun pada 2021 FAM ambil dia sebagai naturalisasi.

“Mungkin pakar-pakar bola sepak yang ada di FAM berpandangan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Shebby nampak lebih tertarik dengan kelibat penyerang muda berusia 19 tahun, Luqman Hakim Samsudin dan menegaskan sudah tiba masa dia diberi peluang untuk mengemudi jentera serangan Harimau Malaya.

“Nampak perubahan Luqman ketika di Malaysia dengan Luqman di Belgium. Tengok sentuhan dan kegigihan dia. Dia buat kerja kotor, bertahan, kejar pemain pertahanan (lawan), langgar sana sini dan dia tak malas macam sesetengah pemain yang mana bila tiada bola, berjalan saja.

“Saya tengok dia semakin meningkat. Soal main atau tak (bersama KV Kortrijk), jangan dipertikai. Ramai juga pemain simpanan di Liga Malaysia pun dapat wakili Harimau Malaya.

“Luqman memang ada potensi, kalau kita tak beri peluang untuk dia menyerlah, kita akan rugi besar. Ia kerana kita akan bunuh semangat dan menyekat perkembangan pemain muda yang begitu dinamik.

“Memang sudah sampai masa kita perlukan penyerang seperti Luqman. Ada masa tertentu dalam kerjaya bola sepak seseorang pemain dan kalau tak diberi peluang, masa itu akan berlalu dan kita akan rugi besar,” katanya kepada BH Sukan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.