“Jangan hanya nak salahkan naturalisasi, pemain tempatan pun bermain teruk”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengurus skuad kebangsaan, Datuk Wira Yusoff Mahadi berpendapat ianya tidak adil untuk menyalahkan pemain naturalisasi semata-mata berikutan kekalahan 1-2 kepada Vietnam pada awal pagi Sabtu, kira-kira seminggu selepas tunduk 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kekalahan keempat dalam Kumpulan G yang menutup peluang skuad negara mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 itu menyaksikan sekali lagi prestasi pemain-pemain naturalisasi Harimau Malaya menjadi persoalan dan sasaran kecaman.

Walaupun menjaringkan gol menerusi sepakan penalti menentang Vietnam, Guilherme De Paula secara keseluruhannya tidak membawa impak yang diharapkan, manakala Mohamadou Sumareh pula ‘hilang’ dan tenggelam jauh di dasar lautan.

Liridon Krasniqi pula direhatkan susulan prestasi mengecewakan ketika menentang UAE dan dimasukkan ketika babak akhir permainan susulan prestasi mengecewakan ketika menentang UAE.

Mengulas mengenai kecaman ke atas mereka, Yusoff Mahadi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM berkata, “Saya tidak mahu menumpukan seolah-olah dalam pasukan kita hanya ada pemain naturalisasi. Bila prestasi pasukan tak seperti dijangka atau seperti dikehendaki, ia melibatkan keseluruhan pasukan, bukan hanya pemain naturalisasi.

“Macam dalam perlawanan semalam, cuma ada dua sahaja naturalisasi dalam kesebelasan utama, iaitu De Paula dan Sumareh, dan kita tak boleh kata itu faktor prestasi pasukan naik turun. Ya, memang kita harap pemain naturalisasi main lebih baik, mestilah beri sumbangan dan prestasi mereka perlu jauh lebih baik daripada pemain tempatan.

“Tapi dalam permainan berpasukan, banyak faktor perlu diambil kira sebelum kita mengatakan tahap seseorang pemain naturalisasi itu memberi impak atau tidak. Saya kira bukan hanya pemain naturalisasi yang bermain tidak menepati jangkaan, tapi beberapa pemain tempatan juga tidak menepati sasaran atau mencapai tahap yang diperlukan.”

Sebelum bermula pusingan kelayakan, penyokong meletakkan keyakinan serta harapan tinggi untuk menyerlah berikutan kehadiran tiga pemain naturalisasi dan enam pemain berdarah kacukan di dalam skuad Harimau Malaya.

Malah skuad kali ini dikatakan skuad terbaik pernah dikumpulkan dalam sejarah, namun pada akhirnya sekadar indah khabar dari rupa.

Dengan peluang ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 sudah tertutup, kini pasukan negara wajib menewaskan Thailand untuk menamatkan aksi Kumpulan G di tangga ketiga dan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.