“Jangan Harap Kami Bagi Muka” – Benjamin Mora Yakin JDT Juara

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

KL CIty boleh melupakan hasrat melakukan kejutan dalam aksi final Piala Malaysia 2021 yang akan berlangsung Selasa di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ini kerana Johor Darul Takzim (JDT) tidak akan sesekali memberi muka kepada mereka tatkala Benjamin Mora menegaskan penyokong akan melihat pasukan itu tampil sebagai harimau kelaparan yang akan memburu, menerkam dan melapah daging mangsanya tanpa belas kasihan.

“JDT akan menjadi JDT. Kami tidak akan duduk diam dan menunggu apa yang akan jadi pada perlawanan itu nanti. Kami akan buat segalanya (eat the grass), kami akan makan pasukan lawan dan cuba untuk menjaringkan gol.

“Cara untuk menang di final adalah mudah iaitu kami perlu menjaringkan gol. Kami bukan setakat mahu beraksi di final tetapi mahu memenanginya.

“Sangat penting (mempertahankan kejuaraan) bagi mengekalkan mentaliti kemenangan dan produktiviti pasukan. Ia akan meninggalkan legasi yang baik mengenai kemenangan dan kemenangan,” ujarnya ketika sidang media pra perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Isnin.

Pengendali dari Mexico itu menambah, memenangi setiap aksi final sudah menjadi tabiat JDT dan pemain juga sudah sebati dengan mentaliti kemenangan kerana itulah budaya di kelab tersebut.

“Motivasinya bermula untuk mendapatkan momentum dan kemudiannya ia menjadi tabiat dan tradisi sekali gus sebagai budaya di sini. Di JDT, kami perlu menang setiap pertandingan dan ini adalah tekanan yang begitu memuncak.

“Tetapi kami perlu mengharungi tekanan ini dan memenuhi apa yang dimahukan daripada pihak pengurusan.”

JDT yang menyingkirkan Terengganu FC di separuh akhir dijangka dapat mempertaruhkan skuad terbaik apabila kesemua pemain bebas kecederaan kecuali Safiq Rahim yang menjalani penggantungan perlawanan.

Sejak ditubuhkan lapan tahun lalu, JDT mara ke final buat kali pertama pada 2014 tetapi tewas di tangan Pahang namun muncul juara pada 2017 dan 2019 kedua-duanya dengan menewaskan Kedah.

Sementara itu, Mora juga memberitahu bahawa tidak timbul isu dia perlu memenangi Piala Malaysia untuk membuktikan betapa dia lebih baik berbanding Bojan Hodak yang sebelum ini pernah menjadi jurulatih JDT.

Tegasnya, dia menghormati sejarah yang pernah dilakar Hodak ketika mengendalikan JDT sebelum ini namun pasukan itu tetap memenangi pelbagai gelaran tanpa mengira siapa pun yang menjadi pengendalinya.

“Jujurnya saya tidak rasa apa-apa. Dia (Hodak) pernah berada di JDT dan menjadi watak penting ketika itu tetapi sebagai jurulatih, kami hanya membantu untuk melaksanakan permainan bola sepak yang terbaik dan memotivasikan mereka.

“Bojan hanyalah seorang lagi jurulatih dan dia tahu bagaimana untuk mengendalikan pasukan. Kalau kami menewaskan mereka, kami menewaskan KL City FC dan tiada isu peribadi,” katanya.

Foto kredit : BH Sukan/NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.