“Jangan jadi pembelot,” amaran Bung Mokhtar kepada pemain Sabah FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tindakan pemain-pemain Sabah FC memboikot sesi latihan pada Khamis lalu dipercayai kerana masalah tunggakan gaji sehingga menyebabkan pihak pengurusan pasukan itu dikecam teruk, mengecewakan pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin.

Justeru itu Bung Mokhtar yang juga Timbalan Menteri Sabah memberi amaran kepada pemain-pemain agar tidak menonjolkan sikap negatif yang boleh membawa imej buruk kepada pasukan dan pengurusan.

“Kita kena hentikan, cukup, cukuplah. Saya beri amaran yang terakhir.

“Saya tidak boleh bertolak ansur dengan tindakan sedemikian dan mahu pemain menunjukkan semangat patriotik kepada pasukan dengan menunjukkan sifat kasih sayang, kesetiaan dan kecintaan.

“Jika tiada sifat-sifat kecintaan, ia boleh dianggap sebagai pembelot. Jangan main-main dengan saya. Saya tidak main politik apabila saya mahu rombak SAFA dan Sabah FC. Saya sudah melakukan banyak pengorbanan termasuk wang ringgit, masa dan pengetahuan. Namun tiada siapa yang tahu.”

Bung Mokhtar berkata demikian pada majlis Sungkai Sabah FC bersama anak-anak yatim di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah (SICC), pada Khamis.

Sabah FC ketika ini mengharungi prestasi yang agak suram dalam Liga Super apabila hanya mencatat satu kemenangan dan dua seri selepas lapan perlawanan.

“Matlamat kita bukan untuk menang semata-mata tetapi persembahan terbaik supaya penyokong berpuas hati. Jangan lagi ulangi sikap yang menjejaskan pasukan, sebaliknya Sabah FC perlu terus maju dan menjadi pasukan yang kuat. Perkara yang tidak sewajarnya jangan lagi ditimbulkan. Jangan belum main lagi, pasukan sudah kalah,” tambahnya.

Baru-baru ini kapten pasukan Rawilson Batuil dan pemain tengah Azzizan Nordin diketepikan daripada skuad yang menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya dipercayai kerana bersuara mengenai tunggakan gaji seterusnya mendorong pemain lain untuk memboikot sesi latihan.

Ketua Pegawai Eksekutif Khairul Firdaus Akbar Khan bagaimanapun menafikan bahawa ada berlakunya insiden seperti itu sebaliknya menegaskan latihan tamat awal dan pemain-pemain dibenarkan pulang berehat.

Dia turut mengakui bahawa memang ada berlaku kelewatan pembayaran gaji tetapi tidaklah sampai tertunggak sepertimana didakwa.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.