Jangan Lupa Solat Taubat! Nurshamil Berang Dikaitkan Dengan Kes Rogol

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang Kelantan, Nurshamil Abd Ghani berang namanya dikaitkan dalam kes rogol yang sedang tular ketika ini.

Pemain itu nyata terkejut secara tiba-tiba ada yang memburukkan namanya sebagai suspek kes tersebut, sedangkan dia kini sedang bercuti bersama keluarga di Sungai Buloh.

“Fitnah akhir zaman! Saya ada je dekat Sungai Buloh habiskan cuti seminggu dengan isteri dan anak-anak. Jejak tanah Kelantan pun belum lagi untuk musim ni sebab TRW Kelantan FC berlatih di Nilai.

“Yang hairan tu jenis yang palatao petik-petik nama dengan yakin. Nanti dah tahu siapa “pemain liga tempatan kelantan” yang buat hal tu, jangan lupa buat solat taubat sesungguhnya memfitnah itu adalah dosa yg amat besar,” ujarnya.

Sepertimana ditegaskan Nurshamil, Kelantan sudah beberapa bulan berlatih di Pusat Sukan USIM, Nilai kerana Stadium Sultan Muhammad Ke-IV ditutup untuk pembaikpulihan manakala kejadian rogol itu berlaku di Jalan PCB, Kota Bharu.

Mangsanya adalah seorang jurujual berusia 18 tahun manakala suspek pula seorang pemain bolasepak dan telahpun ditahan polis untuk siasatan.

Selain dikatakan berusia 28 tahun dan bermain di liga bolasepak tanah air (tidak dinyatakan juga sama ada Liga Premier atau M3, atau Liga Sosial Kelantan) tiada maklumat lain diperoleh mengenai suspek. Ini menyebabkan netizen mula mengaitkan pelbagai nama berdasarkan maklumat yang ada dan nama Nurshamil turut terpalit dipercayai kerana usianya adalah 28 tahun.

Menurut fakta kejadian, pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata, “Dalam laporan yang dibuat, mangsa yang juga seorang jurujual kain dan tudung berada di rumahnya di Kampung Kijang, Jalan PCB, keluar dari bilik untuk membuang sampah pada jam 12.30 tengah hari Ahad lalu.

“Mangsa mendakwa didatangi suspek yang tiba-tiba menolaknya dari belakang sebelum mengheretnya ke katil dalam bilik tidur.

“Mangsa cuba melawan dan menjerit namun tiada ahli keluarga di rumah ketika kejadian dan remaja perempuan itu mendakwa dia dirogol tanpa kerelaan.

Mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan hasil pemeriksaan mengesahkan terdapat satu kesan koyakan baharu.

Tambah Muhammad Zaki, hasil siasatan dan temu bual yang dijalankan, mangsa mengenali suspek yang juga pelanggan tetap di kedai makan milik emaknya.

Mangsa juga mendakwa pernah menerima mesej menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ yang berbaur lucah serta gambar lucah daripada suspek tahun lalu ketika masih bersekolah.

“Suspek ditahan pada hari sama di Kampung Kijang, Jalan PCB dan semakan yang dibuat mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

“Polis turut merampas baju dan seluar yang digunakan oleh suspek ketika jenayah dilakukan.

“Suspek direman empat hari bermula semalam sehingga 2 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.