“Jangan Risau, Nanti Semuanya Akan Selesai” – Posa Majais

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tunggakan gaji beberapa bulan pasukan Sarawak United, akan selesai tidak lama lagi. Itu jaminan diberikan oleh Presiden kelab itu, Datuk Posa Majais.

“Peruntukan pembayaran gaji termasuk yang tertunggak berjumlah lebih RM2 juta sudah diluluskan dan barisan pemain akan menerima bayaran mereka kelak.

“Kami sedaya upaya menyelesaikan masalah itu, malah ada antara pemain mengambil wang ‘advance’ (pendahuluan) daripada pihak pengurusan dalam tempoh berkenaan.

“Jadinya, saya ingin tekankan bahawa pengurusan Sarawak United bukannya mengambil sikap sambil lewa, cuma mahu menunggu kelulusan peruntukan terlebih dahulu untuk membayar semua hutang terbabit,” kata Posa Majais dipetik daripada Arena Metro.

Sebelum ini, pasukan Liga Super itu dilaporkan dihimpit dengan masalah tunggakan gaji dari dua hingga empat bulan melalui pendedahan dibuat oleh Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM).

Dalam kenyataan media oleh PFAM pada Rabu, mereka menyatakan rasa kecewa kerana tiada maklumbalas positif daripada pihak kelab walaupun telah mengeluarkan notis sebanyak dua kali.

“Pada 14 Jun yang lepas, pihak PFAM telah mula mengeluarkan notis kepada Sarawak United FC untuk tuntutan tunggakan kepada pemain yang telah melakukan aduan. Notis susulan turut diberikan kepada Sarawak United FC pada 8 Julai yang lepas.

“Walaupun telah menerima respon balas daripada pihak kelab untuk melunaskan tunggakan gaji, namun sehingga kini, tunggakan tersebut masih belum dijelaskan sepenuhnya.

“Lebih mendukacitakan, pada bulan Jun yang lepas, para pemain terpaksa berhadapan dengan situasi menerima notis untuk mengosongkan tempat penginapan mereka kerana bayaran sewa tidak dilunaskan oleh pihak kelab.

“Pihak pengurusan kelab sewajarnya memberikan fokus sepenuhnya dalam menjalankan tanggungjawab mereka bagi mengelakkan hukuman yang berat dikenakan terhadap pasukan.

“PFAM memandang serius tentang isu tunggakan gaji pemain dan akan membawa perkara ini ke peringkat NDRC dalam masa yang terdekat,” menurut kenyataan PFAM.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.