‘Jangan sembang pasal DNA Jerman dengan saya,’ tegas Khalid Ali

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

“Dengan saya jangan cerita pasal DNA Jerman, saya pernah berlatih di Jerman dan bersama dengan Karl-Heinz Weigang selama lima tahun dan kami layak ke sukan Olimpik,” kata bekas pemain kebangsaan yang juga legenda Selangor, Khalid Ali.

Reaksi Khalid Ali itu dituju kepada corak permainan ditunjukkan Selangor FC dalam kempen Liga Super setakat ini, di mana mereka sebelum ini dikatakan akan menerapkan DNA Jerman selepas membawa masuk Karsten Neitzel sebagai ketua jurulatih baru.

“Saya tak nampak DNA Jerman dalam pasukan Selangor, mungkin masa menjaringkan gol ketika berdepan JDT saya nampak.

“Jika nak main dengan DNA Jerman, anda kena bermain 110 peratus. Anda kena bagi komitmen dari minit pertama hingga 90 minit dan anda kena betul-betul pantas dan cergas,” katanya yang berpendapat Selangor FC sehingga kini belum menterjemahkan potensi sebenar.

Tambah Khalid Ali lagi, dengan barisan pemain yang dimiliki Selangor FC, mereka sepatutnya memenuhi reputasi sebagai pencabar kejuaraan dan mencabar kelompok tiga teratas, bukannya berlegar di pertengahan liga.

Skuad Red Giants ketika ini hanya mencatat dua kemenangan dan dua seri dalam tujuh perlawanan, manakala tiga lagi berkesudahan dengan tewas termasuk yang terbaru di tangan Kedah Darul Aman FC.

“Pemain yang mereka ada semua yang bagus iaitu pemain negara dan pemain muda yang sedang meningkat naik. Sepatutnya (kedudukan) mungkin di belakang JDT, tangga kedua atau ketiga. Saya nampak mereka boleh jadi pasukan yang baik, mantap dan pencabar.

“Pemain import sepatutnya memberikan impak serta mempamerkan persembahan lebih baik daripada pemain tempatan,” ujarnya sambil menekankan sikap pemain Selangor FC yang tidak berani membuat keputusan sendiri dalam situasi tertentu juga dilihat antara perkara yang perlu diperbaiki.

“Apa yang saya nampak perlawanan menentang Kedah, pemain tertekan atau tidak berani membuat keputusan sendiri mengikut situasi. Mungkin mereka terlampau ikut buku yang mana apa yang dibuat semasa latihan dibawa ke perlawanan.

“Lawan Kedah mereka sepatutnya mendapat dua atau tiga gol lagi, saya nampak keyakinan pemain kurang. Itu yang sepatutnya jurulatih terapkan atau memberi kebebasan mereka bermain walaupun perlu mengikut taktikal atau tanggungjawab yang diberi,” katanya lagi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.