Jangan Sesekali Pandang Rendah Skuad Projek FAM-MSN Walaupun Duduk Tangga Tercorot

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Kelantan, Rezal Zambery Yahya mengingatkan barisan pemainnya tidak mengambil mudah pertembungan dengan Skuad Projek FAM-MSN pada Jumaat, di sebalik kedudukan pasukan itu di tangga tercorot Liga Premier ketika ini.

Walaupun Kelantan yang sedang menerajui Liga Premier dengan 29 mata, menjadi pilihan mutlak dan dijangka tiada masalah untuk menewaskan skuad Projek FAM-MSN, Rezal mahu komitmen dan disiplin sama ditunjukkan para pemain untuk meneruskan momentum kemenangan.

“Kita tidak boleh melakukan kesilapan dalam baki perlawanan, semua perlawanan adalah sama, tidak ada yang mudah. Kedudukan mereka di tangga tercorot bukan alasan untuk kita main sambil lewa, kita tahu mereka dibarisi pemain-pemain muda yang energetik, jadi jangan hilang fokus.

“Kita tidak mahu kecewakan penyokong, jadi semua pemain perlu tampil pada prestasi terbaik,” ujar Rezal Zambery sambil mengakui gembira dengan prestasi semasa pemain muda seperti Muhaimin Izudin, Ikhwan Yazek dan Fazrul Amri.

“Saya akan memberikan minit permainan kepada semua pemain saya termasuk pemain-pemain muda ini yang menunjukkan peningkatan dan membawa impak positif, apatah lagi Ogos adalah bulan yang amat sibuk bagi kem TRW Kelantan FC. Boleh dikatakan setiap minggu akan ada perlawanan liga.

“Jadi mereka perlu sentiasa bersedia untuk diturunkan walau apa jua situasi,” tambahnya.

Dalam tiga pertemuan dengan Skuad Projek FAM-MSN sejak tahun 2021, Kelantan menang ketiga-tiga perlawanan, semuanya dengan jaringan tipis iaitu 2-1 pada 9 Mac dan 24 Julai 2021, serta 1-0 pada 18 Mac 2022.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.