“Jangan terburu-buru turunkan kerana dia ada nama, kita pun tak kenal dia”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar bersetuju mengatakan kehadiran Dion Cools ke dalam skuad Harimau Malaya tonik terbaik buat Harimau Malaya untuk mengharungi baki tiga aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Pemain berdarah campuran Malaysia-Belgium yang bermain dengan kelab Denmark, FC Midtjylland itu diumumkan sebagai pemain baru skuad Harimau Malaya pada Selasa.

Azlan Johar bagaimanapun berpendapat tidak perlu terburu-buru turunkan Dion Cools dalam aksi menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) tengah malam esok kerana masa terlalu suntuk untuk pemain itu cergas sepenuhnya dan menyesuaikan diri dengan taktikal Tan Cheng Hoe.

“Kalau pemain bintang macam Cristiano Ronaldo, tak perlu tunggu lama boleh serasi dengan pemain lain. Namun, Cheng Hoe akan tengok perkembangan pemain ini dalam latihan dahulu.

“Kalau dia tengok Dion Cools bagus dan cepat sesuaikan diri dengan permainan pasukan, dia boleh guna. Tapi kita jangan paksa, jangan nanti kita salahkan Cheng Hoe sebab apa-apa pun dia yang lebih tahu pemain itu boleh main atau tidak.

“Jangan nanti kita terburu-buru buat keputusan dengan terlalu bergantung pada nama, saya rasa terlalu awal nak turunkan dia. Peminat pun perlu sabar, masa terlalu singkat dan kita pun tak kenal dia.

“Kalau untuk lawan Vietnam, 12 Jun ini mungkin sesuai sebab sudah lebih seminggu (bersama pasukan) dan kita pun tahu tahap kecergasan dan permainan Dion Cools bagaimana. Tahap kecergasan permainan dan tahap kecergasan dalam latihan berbeza,” katanya dilaporkan BH Sukan.

Malaysia ketika ini berada di tangga kedua Kumpulan G dan perlu meraih mata semaksima mungkin dari tiga perlawanan menentang UAE, Vietnam serta Thailand (15 Jun) untuk mencerahkan peluang layak ke pusingan seterusnya.

Kesemua pasukan juara kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia, manakala hanya empat pasukan naib juara terbaik akan mengiringi mereka.

Menurut Azlan Johar lagi, skuad Harimau Malaya ada kekuatan untuk berada dalam kelompok 12 pasukan terbaik itu.

“Untuk pasukan kebangsaan, kita sudah ada semua yang kita nak. Kita ada pemain campuran, sama seperti yang kita miliki masa kita layak ke Olimpik dulu.

“Ada pemain yang tinggi dan ada yang rendah, cuma mereka perlu jadikan jantung dan hati mereka sebagai satu ‘enjin’ yang tiada siapa pun boleh menggugat pasukan kita. Kerjasama saja tidak cukup jika kita tiada kasih sayang antara satu sama lain,” tambahnya.

Selain diperkuatkan pemain berdarah campuran, Harimau Malaya kali ini turut mempunyai kelibat tiga pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh, Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.